PETALING JAYA: Penggubalan Akta E-Dagang baharu yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang berupaya mengukuhkan standard industri secara konsisten, sekali gus melindungi pengguna dan membantu jenama tempatan bersaing berdasarkan kualiti.
Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Lazada Malaysia, Khairil Ahmad berkata, perlindungan pengguna bukanlah halangan kepada pertumbuhan e-dagang, sebaliknya menjadi pemangkin utama kepada ekosistem ekonomi digital negara.
Menurut beliau, pembentangan Belanjawan 2027 menterjemahkan keutamaan tepat dengan mengaitkan dipertanggungjawabkan platform e-dagang bersama sokongan praktikal untuk keusahawanan digital tempatan.
“Lazada menyambut baik pengumuman Akta E-Dagang ini. Di Lazada, pengesahan penjual, langkah menangani barangan tiruan, proses pemulangan serta pemulangan wang yang jelas dan tadbir urus platform yang bertanggungjawab sememangnya telah menjadi sebahagian daripada operasi kami.
“Apabila pembeli yakin dengan barangan yang dibeli, perniagaan tempatan mempunyai asas lebih kukuh untuk berkembang. Dalam mendepani tekanan kos sara hidup, pembelian mampu milik juga mestilah pembelian yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, peruntukan RM10 juta bagi kempen Jom Malaysia memperkukuh usaha kerajaan mengetengahkan barangan dan perkhidmatan tempatan ke pasaran lebih luas.
Lazada menerusi kerjasama rapat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah kempen tersebut membantu jenama tempatan meraih jualan menerusi sokongan pencipta kandungan, alat pemasaran, sistem pembayaran serta logistik.
Dalam pada itu, peruntukan RM142 juta bagi memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) disifatkan sebagai selari dengan inisiatif Lazada University dan alat kecerdasan buatan (AI) Lazada dalam melatih penjual tempatan mengenai penetapan harga, strategi pemasaran dan pengurusan kedai secara mampan.
“Belanjawan 2027 menyediakan asas kukuh untuk kerajaan dan pihak industri membina ekonomi digital yang selamat serta kompetitif. Lazada komited untuk terus menyokong aspirasi ini menerusi platform yang dipercayai dan latihan berterusan,” katanya. – UTUSAN











