SEREMBAN: Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 membantu Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan urusan penawaran haji dengan mengurangkan jumlah pendeposit yang menolak tawaran menunaikan ibadah itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, ketetapan itu merupakan langkah positif bagi memastikan pendeposit mempunyai persediaan kewangan mencukupi sebelum menerima tawaran berkenaan.
Menurutnya, syarat itu turut mengurangkan keperluan TH mengemukakan tawaran berulang kali kepada pendeposit lain susulan penolakan tawaran terdahulu.
“Apabila ada ketetapan seperti itu, jumlah yang menolak atau pun istilahnya dapat panggilan haji dan menolak itu berkurangan sangat-sangat tinggi.
“Jadi, ini juga mengelakkan daripada Tabung Haji perlu melakukan perkara yang berulang. Maksudnya buat tawaran, kemudian ditolak, dan diberi tawaran lagi,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen AI dan Kehakiman Islam Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Marhamah berkata, kempen Seruan Istito’ah yang dilaksanakan TH turut menekankan kepentingan persediaan awal merangkumi kemampuan kewangan, kesihatan dan aspek lain sebelum seseorang menunaikan haji.
“Istito’ah bukan sahaja kemampuan dari segi kewangan, tapi dari segi kesihatan dan perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam kita mempersiapkan diri sebelum kita menyambut panggilan Allah ke Baitullah untuk menunaikan haji,” katanya.
Katanya, kesedaran masyarakat mengenai kepentingan persediaan menyeluruh itu perlu terus dipertingkatkan supaya mereka bersedia apabila menerima tawaran menunaikan haji.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 80 peratus daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang mendaftar untuk menunaikan haji dilaporkan mempunyai simpanan kurang RM15,000, iaitu jumlah minimum yang perlu dicapai bagi mengekalkan kelayakan giliran sedia ada selepas tempoh peralihan berakhir.-UTUSAN










