TANJUNG MALIM: Seorang bapa bersyukur apabila menerima bantuan kelengkapan persekolahan untuk tiga anaknya yang bersekolah rendah ketika dia amat memerlukan bantuan tersebut.
Khairul Azmi Othman, 30, berkata, pendapatannya sebagai seorang guru maahad tahfiz di Tanjung Malim tidak mencukupi selain isterinya suri rumah sepenuh masa.
“Sebenarnya, saya hanya mengisi borang secara dalam talian selepas menerima mesej daripada ketua kampung berkenaan pemberian bantuan ini namun tidak menyangka ketiga-tiga anak terpilih.
“Saya difahamkan, bantuan ini merangkumi baju sekolah, kasut, tudung, alat tulis dan beg yang nilainya RM175,” katanya.
Khairul Azmi merupakan antara ibu bapa kepada 500 pelajar daerah ini yang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025 di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang di sini semalam..
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Kata Khairul Azmi, wang yang disimpannya bagi tujuan membeli kelengkapan persekolahan dapat digunakan untuk membayar yuran persekolahan ketiga-tiga anaknya itu.
“Alhamdulillah, perihal sekolah anak-anak sudah selesai, sekarang fikirkan perbelanjaan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pula.
“Memang harga barangan mahal tetapi kita tumpukan yang perlu terlebih dahulu selain keperluan berbanding kehendak,” katanya.
Bagi Maheran Abdullah, 40, bantuan yang diterimanya sangat membantu keluarganya yang hanya bergantung kepada pendapatan tidak menentu suaminya yang bekerja sebagai pekerja kontrak.
“Anak sulung saya iaitu Nurul Alessya Sofea Mohd. Erman yang berumur sembilan tahun sedang bersekolah di darjah tiga di sebuah sekolah rendah di sini.
“Sumbangan ini membantu kerana pendapatan suami tidak menentu kerana kerja mengikut kontrak semasa ,” katanya. – UTUSAN









