KUALA LUMPUR: Peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di negeri-negeri lain masih sah, berperlembagaan dan boleh dikuat kuasa selagi tidak dicabar dan diisytihar tidak sah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, hanya 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 diisytihar tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Bagaimanapun menurut beliau, status bagi akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah adalah kekal selagi tiada pihak yang memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang negeri.
“Apa yang boleh diputuskan, berdasarkan Fasal 2 Perkara 74, dan Butiran I Senarai II Senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri.
“Maka, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja adalah pihak berkuasa utama yang perlu dilindungi dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] mengenai langkah Kerajaan Persekutuan menguruskan undang-undang di peringkat negeri-negeri lain.
Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu memutuskan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.
Mengulas lanjut, menyorot kes Iki Putra Mubarak yang mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri, Zulkifli berkata, pada 2021, tiada campur tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes berkenaan.
Katanya, hal sama juga berlaku dalam kes Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang mana Jabatan Peguam Negara (AGC) juga tidak mencelah.
“Maknanya ia satu tindakan konsisten oleh AGC memperlihatkan kepada keseluruhan perkara dan faktor yang ada pada hari ini….kena ingat pada 2021, (ketika itu Kerajaan Persekutuan) bukan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










