Kos haji tak patut naik - Utusan Malaysia

Kos haji tak patut naik

KOS menunaikan umrah dijangka sehingga 50 peratus susulan pandemik Covid-19. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos mengerjakan ibadah haji tidak sepatutnya dinaikkan meskipun kerajaan Arab Saudi memperkenalkan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya tidak menafikan peningkatan kos mengerjakan ibadah itu susulan pengenalan VAT, namun itu bukan hak Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk menaikkan kos.

Katanya, ini kerana jumlah sebahagian itu sepatutnya boleh ditampung menggunakan cukai keuntungan 26 peratus yang dikecualikan oleh kerajaan buat jemaah haji.

“Kos haji meningkatlah berapa pun sepatutnya ditambah oleh Tabung Haji melalui pengecualian cukai keuntungan yang diberikan kepada Tabung Haji. Jadi kenapa perlu tingkatkan kos dan jemaah perlu tambah duit?.

“Memang kos haji meningkat, tetapi Tabung Haji tiada hak untuk naikkan kos haji, maka kos haji patut kekal dengan harga hampir RM10,000 manakala lebihan itu ditampung daripada cukai keuntungan yang tak dibayar kepada kerajaan untuk diagihkan kepada pencarum Tabung Haji.

“Katakan untung sekarang adalah RM3 bilion, cukai keuntungan 26 peratus lebih kurang RM900 juta contohnya, maka sekiranya seorang jemaah ditampung RM20,000, 1,000 jemaah RM20 juta, 10,000 jemaah RM200 juta, jadi baru RM600 juta untuk 30,000 jemaah sedangkan cukai patut bayar adalah RM900 juta,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan VAT yang diperkenalkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, VAT itu meningkat kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini menyebabkan jangkaan peningkatan kos haji sebanyak lebih 50 peratus.

“Peningkatan kos sebahagian besarnya berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi termasuk penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas.

“Jumlah tepat kos haji akan datang itu bagaimanapun akan diputuskan dalam kabinet dan diketahui awal tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN