KYIV: Russia seolah-olah mengabaikan amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, apabila melancarkan serangan terhadap beberapa loji janakuasa di Ukraine hanya beberapa jam selepas pengumuman gencatan senjata tenaga antara kedua-dua negara.
Serangan itu berlaku meskipun Trump menegaskan Russia dan Ukraine sudah bersetuju menghentikan serangan terhadap infrastruktur tenaga masing-masing serta memberi amaran supaya persetujuan itu tidak dilanggar.
Sebuah loji janakuasa di Kyiv diserang dron sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di ibu negara Ukraine itu, manakala infrastruktur tenaga di Kharkiv turut menjadi sasaran.
Terdahulu, Trump mengumumkan menerusi platform Truth Social bahawa gencatan senjata tenaga antara Russia dan Ukraine berkuat kuasa serta-merta.
“Berkuat kuasa serta-merta, gencatan senjata tenaga dilaksanakan dalam perang antara Russia dan Ukraine. Kedua-dua pihak bersetuju. Jangan melanggarnya!” tulis Trump tanpa memberikan butiran lanjut.
Ketika itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai gencatan senjata tenaga berkenaan.
“Berita itu juga baharu bagi saya. Namun, jika Russia bersetuju dengan gencatan senjata tenaga, Ukraine juga akan bersetuju,” katanya kepada Axios.
Sekutu Kyiv pula berkata, mereka sedang menunggu butiran lanjut mengenai gencatan senjata yang melibatkan sasaran tenaga, seperti diumumkan Trump.
“Ukraine menyokong gencatan senjata itu dan penting untuk Russia turut menyokongnya. Kami sedang menunggu butiran daripada pihak Amerika.
“Ukraine sentiasa menyokong sepenuhnya usaha meredakan ketegangan, melindungi nyawa dan keputusan yang diperlukan untuk menamatkan perang serta menjamin keamanan berkekalan,” kata Zelensky menerusi laman Facebooknya sebelum serangan Russia terhadap loji janakuasa Ukraine.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pula menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan gencatan senjata tenaga yang sebenar antara Ukraine dan Russia, ketika harga diesel mencecah 2.25 euro (RM10.29) seliter.
Russia belum mengesahkan sebarang persetujuan berhubung gencatan senjata itu ketika perang menyaksikan peningkatan serangan maut. – AGENSI











