PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kejuruteraannya menerusi tujuh kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan, kejuruteraan, teknologi dan logistik global.
Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan armada, memperkukuh daya tahan operasi serta menyediakan asas lebih kukuh bagi pertumbuhan perniagaan MRO kumpulan itu untuk jangka panjang.
MAG dalam satu kenyataan berkata, kerjasama berkenaan diumumkan sempena MRO Asia-Pacific 2026 di Singapura pada 9 Oktober lalu, membabitkan kepakaran global dalam sokongan komponen, kejuruteraan, pengurusan bahan dan logistik penerbangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, industri penerbangan terus berdepan cabaran susulan ketidaktentuan harga bahan api dan tekanan lain yang memberi kesan langsung kepada operasi serta prestasi kewangan.
Katanya, keadaan itu menuntut kumpulan berkenaan lebih berdisiplin dalam pengurusan perniagaan dan peruntukan pelaburan, selain terus membina keupayaan bagi pertumbuhan masa depan.
“Keutamaan kami bukan sekadar memperkukuh aktiviti penyelenggaraan secara berasingan, tetapi membangunkan platform MRO dan kejuruteraan bersepadu yang berdaya tahan untuk kumpulan.
“Kerjasama ini menggabungkan kepakaran global, keupayaan teknikal dan sokongan rantaian bekalan dengan kekuatan kejuruteraan kami sendiri, sekali gus membolehkan kami menyokong syarikat penerbangan dengan lebih baik serta membuka peluang untuk mengembangkan perniagaan MRO,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MAG, kerjasama dengan Thales, Airbus Flight Hour Services (FHS), Air France Industries KLM Engineering & Maintenance (AFI KLM E&M), The Boeing Company dan Collins Aerospace akan memperkukuh akses Malaysia Airlines kepada sokongan komponen, keupayaan pembaikan, kepakaran teknikal serta pengurusan bahan bagi keseluruhan armadanya.
“Kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan ketersediaan komponen dan alat ganti kritikal, menyokong perancangan penyelenggaraan serta mempercepat tindak balas operasi kejuruteraan,” katanya.
Sementara itu, kerjasama dengan CEVA Logistics akan memperkukuh rantaian bekalan bagi memenuhi keperluan kejuruteraan dan operasi Malaysia Airlines, termasuk penyediaan sokongan logistik bersepadu untuk komponen pesawat, alat ganti kritikal dan bahan lain.
“Langkah itu melengkapi usaha lebih luas MAG untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serta memastikan keperluan penyelenggaraan dapat dipenuhi tepat pada masanya di seluruh rangkaiannya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MAG turut memperkukuh peranan MAB Engineering Services sebagai penyedia perkhidmatan MRO kepada pelanggan syarikat penerbangan luar.
“Kerjasama yang diperluas dengan Batik Air Malaysia pula meneruskan sokongan penyelenggaraan barisan pesawat (line maintenance) yang disediakan di beberapa lokasi, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap keupayaan teknikal dan operasi MAB Engineering Services,” katanya. – UTUSAN











