PRU16: Sanggupkah GPS, GRS terima jika Pas jadi 'poster boy' calon PM - AMK

PRU16: Sanggupkah GPS, GRS terima jika Pas jadi ‘poster boy’ calon PM – AMK

DZUL HILMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Memandangkan pimpinan utama Barisan Nasional (BN) masih enggan menamakan ‘poster boy’ untuk calon Perdana Menteri pasca PRU16, Angkatan Muda Keadilan (AMK) tertanya-tanya jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) danGabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu menerima jika Pas menamakan calon mereka sebagai calon PM.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, ia berkemungkinan terjadi kerana Pas berkemampuan menang lebih banyak kerusi berbanding BN jika gabungan BN-Pas menjadi realiti memandangkan mereka kini adalah parti yang mempunyai ahli Parlimen terbanyak.

Beliau berkata, kalau BN dan Pas benar-benar serius mahu bekerjasama menghadapi PRU16, persoalan paling asas yang perlu mereka jawab ialah siapa yang akan memimpin negara sekiranya mereka mendapat mandat rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika perkara sepenting ini pun masih belum dapat disepakati, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil?

“Persoalannya, jika Pas menang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding BN, adakah BN bersedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Pas?

“Sebaliknya, jika BN mendapat lebih banyak kerusi, adakah Pas bersedia menerima calon daripada BN? Bagaimana pula dengan pendirian GPS dan GRS dalam menentukan siapa yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan?” katanya hari ini.

Baru-baru ini, Profesor, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan lebih besar dalam isu penamaan calon Perdana Menteri berdasarkan rekod dan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung dalam masa setahun daripada sekarang, Mohd Afandi Salleh berkata, Anwar menawarkan kepimpinan yang sudah dikenali dan rekod pentadbiran yang boleh dinilai.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, semua ini menunjukkan bahawa kerjasama politik bukan sekadar soal mengumpulkan kerusi, tetapi memerlukan kesepakatan tentang kepimpinan, hala tuju negara dan keutamaan rakyat.

Dalam hal ini, katanya, Pakatan Harapan mempunyai kelebihan dari sudut kepastian kepimpinan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri sedia ada dan rekod pentadbirannya boleh dinilai oleh rakyat.

“Rakyat boleh meneliti dasar ekonomi,
pembangunan sosial serta langkah-langkah yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran beliau, sebelum membuat penilaian sendiri menjelang PRU16.

“Namun, kita tidak boleh hanya bergantung pada nama dan rekod seseorang pemimpin. Apa yang lebih penting ialah kemampuan kerajaan untuk meneruskan reformasi, memperkukuh ekonomi rakyat, menangani kos sara hidup dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negara,” katanya.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui siapa yang bakal memimpin negara sebelum mereka keluar mengundi.

Katanya, jawatan Perdana Menteri bukan hadiah politik untuk mana-mana parti, sebaliknya satu amanah besar yang mesti disertai tanggungjawab dan komitmen kepada rakyat.

“Akhirnya, PRU16 bukan sekadar pertandingan menentukan parti mana yang mempunyai kerusi paling banyak. Ia adalah pilihan rakyat untuk menentukan siapa yang mempunyai kepimpinan, dasar dan hala tuju yang mampu membawa Malaysia ke hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini