KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuka potensi kekayaan sumber asli di negeri-negeri kumpulan SG4, bagi membolehkan hasilnya dimanfaatkan secara adil oleh seluruh rakyat, bukan hanya tertumpu kepada negeri tertentu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, khazanah sumber asli di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mempunyai potensi besar untuk menjana kekayaan yang boleh dikongsi demi pembangunan negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya bimbang sekiranya negeri-negeri berkenaan menjadi lebih kaya, sebaliknya perlu melihat perkara itu sebagai peluang untuk meningkatkan kemakmuran bersama.
“Kalau boleh, kerajaan lihat kembali kerana ini boleh memberikan keuntungan kita. Apa salahnya Terengganu kaya, Kelantan kaya, Kedah kaya, saya tahu.
“Kalau buat sekarang, kita kaya, kita kongsikan. Inilah dia, kita akan kongsikan kekayaan ini bersama dan akan kita berikan seadil-adilnya kepada seluruh rakyat yang ada dalam negara kita,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata, potensi sumber asli di empat negeri berkenaan perlu dibuka dan dimanfaatkan bagi membolehkan kekayaan itu menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
Beliau turut menyatakan kesediaan menjadikan usaha berkenaan sebagai satu komitmen, seperti yang disarankan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Insya-Allah, Presiden Pas kata, insya-Allah SG4 ini, esok kita dah lakukan ini, kita kongsikan kekayaan ini secara adil untuk semua, kita buka kunci khazanah ini dan kita berikan kekayaan untuk Malaysia bangun, boleh dibanggakan, bukan hanya rakyat tetapi di seluruh dunia, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN











