KUALA LUMPUR: Hanya 34.1 peratus kes kecemasan kritikal di seluruh negara menerima respons ambulans dalam tempoh kurang 15 minit pada 2025 iaitu masih di bawah sasaran 50 peratus yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu masih di bawah sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kesihatan iaitu 50 peratus bagi perkhidmatan ambulan kes kecemasan kategori merah termasuk kes trauma mengancam nyawa.
Beliau berkata, analisis pencapaian berkenaan sedang diteliti secara sistematik bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan penjagaan prahospital dan ambulans.
“Kita meletakkan sasaran KPI kita di bawah 15 minit bagi kes kritikal yang mengancam nyawa. Kita ada kes kategori merah dan juga atau tahap satu, termasuk kes-kes trauma yang mengancam nyawa.
“Sasaran bagi panggilan kes tahap ini adalah sebanyak yang kita mahu dapat, kita mahu capai 50 peratus masa respon pun sudah kita letakkan itu sebagai KPI kami, di bawah 15 minit.
“Tahun 2025, kalau kita perhatikan, pencapaian keseluruhan nasional bagi respon kes-kes prioriti satu seperti mana yang disebut-sebutkan tadi, adalah sebanyak 34.1 peratus di bawah sasaran KPI 50 peratus yang kami tetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai prosedur operasi standard (SOP) pegawai perubatan untuk membantu mangsa kemalangan sekiranya ambulans lewat tiba akibat kekurangan kenderaan di Jelebu.
Mengulas mengenai kemudahan ambulans di kawasan itu, Dzulkefly berkata, sebanyak lima ambulans direkodkan berfungsi ketika ini, manakala dua lagi dijadualkan diterima pada 2027.
Katanya, KKM turut memperkukuh penyeragaman sistem NERS 999 dan meningkatkan kapasiti ambulans bagi menambah baik respons terhadap panggilan kecemasan.
Selain itu, prestasi pemindahan pesakit dipantau secara berterusan menerusi petunjuk khusus, termasuk masa pengaktifan ambulans, bagi menilai kecekapan penyelarasan perkhidmatan mengikut kawasan operasi.
Beliau berkata, respons kecemasan juga diperkasakan melalui khidmat konsultasi perubatan secara langsung oleh pakar perubatan kecemasan kepada pasukan paramedik di lapangan, khususnya bagi membantu rawatan dan resusitasi mangsa trauma. – UTUSAN











