KITA dikejutkan dua kes kematian pelajar di sekolah yang berbeza dalam tempoh yang terdekat. Isunya menarik pelbagai reaksi serta cadangan penyelesaian segera di pihak yang berautoriti.
Sudah pasti, kehilangan dua nyawa dalam dua insiden berbeza itu sangat menyedihkan serta memberi impak yang mendalam kepada pihak yang terlibat.
Untuk itu, kesihatan mental dan sosial turut menjadi tumpuan sebagai elemen yang perlu diberikan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
Dalam suasana yang melibatkan reaksi penuh emosi seperti yang turut rasakan pada masa kini, kes-kes yang melibatkan kematian dalam kalangan pelajar sekolah adalah sesuatu yang perlu dinilai dalam perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.
Justeru, pemegang taruh baik dari pembuat polisi, pelaksana, pihak keluarga serta seisi warga masyarakat perlu sama-sama memikirkan penyelesaian yang lebih ampuh dalam memastikan situasi terkawal serta berjaya dicegah untuk tempoh yang akan datang.
Kita perlu menerima dengan minda terbuka bahawa situasi yang berlaku berkemungkinan merupakan produk kepada situasi yang didorong oleh pelbagai faktor yang melibatkan individu, cara penataan kasih sayang di peringkat keluarga, libat urus dengan masyarakat sekeliling serta bagaimana sistem pendidikan diolah dan respon norma masyarakat yang kini skop komunikasi media sosial yang terlalu luas dan bervariasi.
Golongan remaja merupakan golongan paling rentan dalam berhadapan dengan pelbagai perubahan; situasi yang turut dipengaruhi oleh perubahan transisi hormon serta tahap penerimaan terhadap sesuatu realiti yang terjadi atau juga terhadap apa sahaja keputusan yang perlu dilakukan.
Ibu bapa antara pemegang taruh paling penting dalam memastikan kesinambungan erat kasih sayang yang membawa kepada rasa self-esteem, pembinaan keyakinan anak-anak serta sifat saling mengasihi sesama insan.
Aktiviti pendidikan di rumah disyorkan untuk disusun semula sebagai pelengkap terhadap suasana pendidikan di sekolah. Sudah sampai masanya masyarakat meletakkan institusi keluarga sebagai sesuatu yang sangat utama dalam melahirkan jiwa-jiwa insan yang mempunyai sifat penyayang.
Fokus kesihatan emosi dan mental pula perlu diterapkan dengan memanfaatkan platform sedia ada iaitu melalui aktiviti semasa pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum serta program-program bersifat motivasi.
Pihak sekolah wajarnya tidak menunggu Pasukan Kesihatan Sekolah hadir menyediakan perkhidmatan saringan mahupun vaksinasi sahaja sambil mengenepikan peranan kesihatan dalam menyumbang kepada suasana mental dan emosi yang sihat.
Di sini juga membuka ruang peranan sukarelawan kesihatan mental dan aktivis sosial yang perlu dipergiatkan terutama untuk menyeimbangkan serangan-serangan virtual yang bersifat negatif terhadap kestabilan emosi anak-anak remaja.
Mereka juga berperanan memberikan nasihat kesihatan yang bersifat kontemporari dan realistik.
Di pihak autoriti dan pembuat polisi, kajian dan strategi lebih menyeluruh disarankan untuk diperkemaskan terhadap semua kandungan media sosial yang agak rentan dan sensitif terhadap pertumbuhan dan kematangan minda remaja.
Anak remaja yang ‘bermetamorfosis’ menjadi pemangsa ganas, dan anak-anak yang menjadi mangsa; kedua-dua pihak merupakan anak-anak masyarakat dan negara.
Tanggungjawab kita bersama memberikan sumbangan bernas dan konstruktif ke arah masa depan negara yang lebih sejahtera. Sudah pasti dengan usaha-usaha berkenaan, kita juga perlu tidak lupa untuk saling mendoakan untuk kebaikan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MALINA OSMAN
Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia











