Israel buat kesilapan besar bunuh Ali Khamenei

Israel buat kesilapan besar bunuh Ali Khamenei

RATUSAN ribu rakyat Iran menghadiri perarakan pengebumian Ayatollah Ali Khamenei dan anggota keluarganya di Teheran .- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Pemimpin pembangkang Israel, Yair Golan, menyifatkan pembunuhan bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, pada awal perang Iran-yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) pada akhir Februari lalu sebagai satu kesilapan.

Menurut Golan, tindakan membunuh Khamenei tidak menguntungkan Israel, sebaliknya membawa kepada kemunculan kepemimpinan Iran yang lebih ekstrem dan ganas.

“Saya berpendapat, pembunuhan Khamenei merupakan satu kesilapan. Bukan kerana beliau tidak layak mati, tetapi kerana tindakan itu tidak memenuhi kepentingan negara Israel,” katanya dalam temu bual pada satu acara di Rishon LeZion, selatan Tel Aviv, lapor The Times of Israel semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Golan turut menyentuh usia Khamenei yang mencecah 86 tahun ketika beliau terbunuh.

Beliau mendakwa, penggantian Ali Khamenei oleh anaknya, Mojtaba Khamenei, menyebabkan Iran kini berada di bawah kepemimpinan individu yang lebih ekstrem dan ganas.

Golan turut mengkritik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kerana mengejar matlamat yang ‘tidak realistik’ untuk menggulingkan kerajaan Iran, sambil menegaskan usaha itu masih belum mencapai kejayaan.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari lalu, mencetuskan tindak balas Teheran menerusi serangan peluru berpandu dan dron di rantau itu serta menyebabkan Selat Hormuz ditutup secara berkesan.

Konflik itu meningkatkan ketegangan di Asia Barat selain melonjakkan harga tenaga global apabila pergerakan kapal dagang yang membawa minyak melalui selat berkenaan hampir terhenti sepenuhnya.

Washington dan Teheran menandatangani perjanjian rangka kerja pada Jun lalu susulan usaha pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi menghentikan permusuhan serta membuka laluan kepada rundingan.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini