KUANTAN: Lima laporan polis dibuat berhubung tindakan seorang individu yang didakwa mengeluarkan ugutan mahu memijak al-Quran ketika operasi penguatkuasaan pencerobohan hutan di kawasan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera.
Laporan itu dibuat oleh Gabungan Aktivis NGO Negeri Pahang di Kuantan dan Indera Mahkota.
Penyelarasnya, Noradly Othman berkata, pihaknya merujuk laporan berita sebuah akhbar tempatan pada 7 Oktober lalu bertajuk “Lepas ugut pijak al-Quran, lelaki tumbuk orang awam di Ramsar” dan rakaman video berhubung kejadian tersebut yang tular di TikTok.
Beliau menegaskan, individu terbabit didakwa bertindak biadab dan agresif, menghalang anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menjalankan tugas, mengeluarkan ugutan mahu memijak al-Quran serta melakukan kekerasan terhadap orang awam.
“Kesucian al-Quran bukan bahan ugutan, agama Islam bukan untuk dipersendakan dan undang-undang negara tidak boleh dipijak sesuka hati,” katanya di sini hari ini.
Noradly berkata, Gabungan NGO itu turut mengecam keras perbuatan berkenaan yang disifatkan sebagai penghinaan serius terhadap sensitiviti umat Islam, mencabar kewibawaan penguat kuasa serta berpotensi mencetuskan ketegangan agama dan menggugat ketenteraman awam.
Menurutnya, pihaknya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan tegas terhadap unsur penghinaan agama, ugutan jenayah, halangan terhadap penjawat awam serta kekerasan fizikal.
“Kami menuntut agar individu terbabit disiasat tanpa kompromi, ditahan sekiranya terdapat asas undang-undang dan dihadapkan ke muka pengadilan jika bukti mencukupi. Tiada sesiapa boleh bertindak seolah-olah dirinya kebal daripada undang-undang,” tegasnya.
Laporan itu juga katanya, dibuat demi mempertahankan kesucian agama Islam, kedaulatan undang-undang serta keselamatan dan keharmonian rakyat Malaysia. – UTUSAN











