PETALING JAYA: Penubuhan Dana Pelaburan Ekonomi Baharu bernilai RM1.25 bilion oleh Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bakal memacu pembangunan pusat data serta aset logistik di City of Elmina.
Pembangunan aset bernilai tinggi berkenaan dirangka bagi memperkukuh infrastruktur digital dan perindustrian negara berteraskan penggerakan RM25 bilion oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) di bawah program GEAR-UP menerusi Belanjawan 2027.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, peruntukan dan langkah proaktif kerajaan dalam belanjawan berkenaan berupaya merangsang pelaburan domestik serta mempercepatkan transisi hijau negara.
“Dari sudut pemilikan kediaman, cadangan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan instrumen pindah milik untuk rumah berharga sehingga RM500,000 serta pengecualian 50 peratus bagi baki melebihi RM500,000 (sehingga RM750,000) bakal membolehkan pemilikan rumah lebih mudah diakses.
“Penyediaan jaminan pembiayaan perumahan sebanyak RM20 bilion menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula memberi sokongan penting kepada dianggarkan 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, insentif elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek teknologi hijau seperti stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) turut mempercepatkan penerapan infrastruktur mesra alam di seluruh pembangunan perbandaran syarikat.
Beliau turut menilai pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi perancangan grid elektrik serta peruntukan tebat banjir RM100 juta di Lembah Klang dan RM320 juta untuk penambahbaikan kecerunan serta perparitan sebagai langkah penting melindungi infrastruktur negara.
“Pengenalan semula klausa Perubahan Harga (VOP) bagi menangani turun naik kos diesel dan bitumen juga merupakan langkah pragmatik untuk melindungi margin kontraktor dan menjamin kestabilan ekosistem pembinaan,” katanya. – UTUSAN











