SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meneruskan Program Serahan Anjing Secara Sukarela bagi mengawal populasi anjing terbiar berikutan kebimbangan terhadap penularan rabies susulan kes kematian di Kedah.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, langkah pencegahan awal penting bagi mengurangkan risiko penularan penyakit zoonotik yang boleh membawa maut itu.
Sebanyak 35 ekor anjing diserahkan menerusi program berkenaan dari 24 Ogos hingga 30 September lalu, membabitkan pembayaran insentif berjumlah RM1,750.
“Program ini menyediakan saluran kepada pemilik yang tidak lagi mampu menjaga anjing peliharaan untuk menyerahkannya secara sukarela, selain membantu menangani isu anjing terbiar,” katanya.
MBS akan meneruskan inisiatif itu secara terkawal dan berperingkat mengikut peruntukan undang-undang serta garis panduan kebajikan haiwan, dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Beliau turut menggesa pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan dilesenkan, divaksinkan, dimandulkan dan tidak dibiarkan berkeliaran di tempat awam.
Kerjasama masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting bagi memastikan pengurusan haiwan dilaksanakan secara bertanggungjawab demi keselamatan awam. – UTUSAN











