Kenaikan tambang feri tidak sesuai keadaan ekonomi semasa

Kenaikan tambang feri tidak sesuai keadaan ekonomi semasa

ABDUL KHALIB ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenaikan tambang feri ke Pulau Tioman ketika ekonomi masih mencabar dilihat tidak sesuai kerana berpotensi menjejaskan kedatangan pelancong dan pendapatan penduduk pulau berkenaan.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, Pulau Tioman sangat bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber ekonomi utama selain aktiviti perikanan, justeru kenaikan kos perjalanan boleh memberi kesan langsung kepada komuniti setempat.

Katanya, kenaikan tambang yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu juga membebankan pelancong yang datang secara berkumpulan atau bersama keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk naikkan tambang feri kerana sumber pendapatan untuk penduduk di Pulau Tioman ini hanya lapan bulan sahaja sebelum terjejas akibat musim Monsun Timur Laut. Jadi, apabila tambang dinaikkan, bagi orang yang datang seorang atau dua orang mungkin tidak begitu terasa, tetapi bagi keluarga lima atau tujuh orang, mereka sudah tentu terasa apabila tambang dinaikkan.

“Malah, ada yang sudah membuat tempahan lebih awal tetapi membatalkannya selepas mengetahui mengenai kenaikan tambang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan notis rasmi Bluewater Ferry, harga tiket feri ke Pulau Tioman meningkat RM15 bagi penumpang dewasa dan kanak-kanak warganegara Malaysia berkuat kuasa 1 Oktober 2026.

Kadar baharu bagi penumpang dewasa Malaysia meningkat daripada RM60 kepada RM75, manakala tiket kanak-kanak Malaysia naik daripada RM55 kepada RM70.

Bagi warga asing, tambang dewasa meningkat daripada RM75 kepada RM90, manakala kanak-kanak daripada RM70 kepada RM85.

Bagaimanapun, kadar bagi penumpang kampung atau penduduk tempatan kekal RM30.

Mengulas lanjut, Abdul Khalib berkata, tempoh operasi yang terhad menyebabkan pengusaha dan penduduk Tioman bergantung kepada kemasukan pelancong bagi menjana pendapatan sepanjang musim pelancongan.

“Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang agak perlahan dan keadaan keselesaan feri yang masih menjadi persoalan, kenaikan tambang kali ini agak ketara,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa pengusaha feri membuat pertimbangan semula kenaikan berkenaan atau membatalkannya bagi memastikan sektor pelancongan Pulau Tioman terus berkembang.

“Saya menggesa kerajaan campur tangan dalam isu berkenaan dengan melihat semula asas kenaikan tambang, selain memastikan pengusaha feri menyediakan perkhidmatan yang selesa dan berkualiti kepada penumpang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga perlu mewujudkan beberapa syarikat bagi perkhidmatan feri ke Tioman bagi memberi persaingan dari segi harga dan juga kemudahan lain.

“Kalau ada persaingan, mungkin perkhidmatan akan ditambah baik. Sebab sekarang kebanyakan orang memilih laluan dari Mersing, Johor, sedangkan kita mahu Pahang juga mendapat manfaat daripada aktiviti pelancongan ke Pulau Tioman,” katanya.

Abdul Khalib berkata, beliau sudah membangkitkan perkara itu dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM), namun masih belum mendapat penjelasan mengenai asas kenaikan tambang berkenaan, termasuk sama ada ia memerlukan kelulusan kerajaan atau boleh ditentukan pengusaha berdasarkan peningkatan kos operasi.

“Sepatutnya kalau kenaikan ini mesti ada kelulusan daripada kerajaan. Saya tidak tahu sama ada tambang feri ini pengusaha boleh menaikkan kadar tambang berdasarkan kenaikan harga minyak atau sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini