Elizabeth Tan kecewa lakonan dalam Pemuja Syaitan tidak memuaskan - Utusan Malaysia

Elizabeth Tan kecewa lakonan dalam Pemuja Syaitan tidak memuaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan mengakui kecewa dengan mutu lakonannya sendiri dalam filem terbaharu berjudul Pemuja Syaitan.

Elizabeth yang mesra disapa Lizzy, berkata dia terkilan selepas menonton hasil akhir naskhah tersebut selain menyifatkan persembahannya tidak mencapai tahap piawaian peribadi sebagai pelakon.

“Saya memang kritikal terhadap kerja saya. Secara jujur, saya tidak suka lakonan saya dalam filem ini. Bila saya tengok semula, saya rasa seperti ‘under-acted’ dan tidak memberi sehabis baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya jangkakan proses suntingan dan syot yang digunakan adalah berbeza, namun rupa-rupanya banyak emosi yang saya cuba sampaikan tidak tertangkap oleh kamera,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di TGV KLCC, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Lizzy yang juga Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 berkata, faktor teknikal terutamanya aspek pencahayaan yang terlalu gelap dalam filem seram itu turut menjadi cabaran besar buatnya untuk menonjolkan ekspresi wajah dengan berkesan.

“Pencahayaan set itu sangat gelap, jadi emosi pada mata dan air mata saya tidak nampak. Jika saya tahu keadaannya begitu dari awal, pasti saya akan ubah cara lakonan saya.

“Saya tidak pernah berlakon filem dengan efek pencahayaan seperti ini sebelum ini jadi selepas ini saya belajar bahawa kena beri ekspresi lebih lagi supaya kamera dapat tangkap air mata dan bayang-bayang.

“Sebagai pelakon, saya kena ubah gaya lakonan jika pencahayaan seperti ini di masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lizzy turut menyentuh mengenai cabaran menggalas watak remaja, Julie, berusia 17 tahun sedangkan usianya kini sudah mencecah 33 tahun.

Ujarnya, dia terpaksa berusaha keras mengubah intonasi suara dan gaya percakapan agar kedengaran lebih lembut dan sopan demi menghidupkan watak gadis remaja.

“Watak itu menuntut saya bercakap dengan nada yang lebih ‘perempuan’ dan lembut. Sebenarnya ia tidak semula jadi bagi saya.

“Bila menonton semula, saya dapat rasa yang saya sedang ‘berlakon’, bukannya menjadi watak itu secara natural. Itu yang membuatkan saya rasa ralat,” katanya lagi.

Walaupun kecewa dengan persembahan sendiri, Lizzy tetap memberikan sokongan penuh terhadap naskhah sulung arahan Liyana Jasmay itu dan memuji komitmen rakan pelakon lain yang terlibat.

Tegas Lizzy, dia lebih selesa berterus-terang mengenai kualiti lakonannya daripada memberikan kenyataan palsu semata-mata untuk menyedapkan hati pihak lain.

“Saya tidak pandai ‘cover’, jika saya tidak suka atau kecewa dengan diri sendiri saya akan berterus-terang. Tapi pelakon lain dalam dalam filem ini semua sangat rajin.

“Liyana sebagai pengarah sudah macam ‘ibu’ kami semua. Dia akan bertanya jika ada apa-apa yang susah untuk kali lakukan,” katanya.

Filem Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 15 Oktober 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini