Khatib doakan buat PM menjelang pembentangan Belanjawan 2027

Khatib doakan buat PM menjelang pembentangan Belanjawan 2027

ANWAR Ibrahim menyantuni jemaah selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, di sini bersama ribuan jemaah.

Beliau tiba pada 1.04 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair, lengkap bersongkok, sebelum disambut mesra oleh pengurusan masjid serta jemaah yang hadir lebih awal.

Khutbah dibaca oleh Ustaz Hazman Hashim bertajuk ‘Al-Quran Menyatukan Hati, Kasih Merentas Generasi’ yang antara lain mahu jemaah menjadikan al-Quran sebagai petunjuk yang membentuk akhlak dan kehidupan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam khutbah kedua, khatib turut menzahirkan harapan dan doa buat Perdana Menteri serta barisan kepimpinan negara menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Khatib berkata, pengurusan perbendaharaan negara adalah amanah berat yang perlu dilaksanakan berlandaskan kepentingan rakyat.

“Ya Allah, kurniakanlah petunjuk dan kebijaksanaan kepada Perdana Menteri dalam membentangkan Belanjawan Negara. Jadikanlah ia menepati Maqasid Syariah, dan jadikanlah tanah air kami ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara yang baik, makmur dan mendapat keampunan Tuhan),” katanya.

Selesai solat, Perdana Menteri mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum beredar ke Kementerian Kewangan untuk membawa dokumen Belanjawan 2027 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.

Belanjawan 2027 membawa tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, selaras usaha kerajaan mempercepatkan transformasi ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini