TANGKAK: Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas kerugian RM70,000 akibat terjerat taktik penipuan panggilan telefon oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun, kelmarin.
Beliau berkata, suspek yang menyamar sebagai pegawai polis telah menghubungi mangsa pada 30 September lalu dan mendakwa warga emas berkenaan terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
“Suspek memperdaya mangsa supaya menyerahkan kad ATM miliknya menerusi perkhidmatan penghantaran seperti diarahkan bagi tujuan siasatan pihak polis.
“Mangsa kemudian menyedari ditipu selepas mendapati berlaku pengeluaran wang tunai sebanyak tujuh transaksi dari akaunnya tanpa pengetahuan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Roslan, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN











