SEREMBAN: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berkata, ketetapan itu selaras dengan kenyataan media KPM yang dikeluarkan hari ini dan dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di tiga stesen pemantauan di negeri ini.
Menurutnya, tiga stesen berkenaan ialah Port Dickson, Seremban dan Nilai dengan bacaan IPU direkodkan melebihi 180 setakat pukul 5 petang tadi.
“JPNS menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara ini.
“Institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JPNS berkata, guru dan anggota kumpulan pelaksana turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan berkenaan.
Katanya, JPNS bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan dan ketetapan yang ditetapkan KPM.
“JPNS turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh keadaan jerebu ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 ditutup mulai esok susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Arahan itu dibuat susulan titah Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid berikutan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini. – UTUSAN











