SUNGAI PETANI: Sebanyak 44 rumah dan sebuah kedai di lapan lokasi sekitar Sidam Kiri, di sini, terjejas selepas dilanda ribut dan angin kencang kira-kira pukul 3 petang semalam.
Kejadian yang didakwa pertama kali berlaku di kawasan berkenaan turut menyebabkan beberapa bumbung rumah diterbangkan angin, manakala pokok tumbang menghempap kediaman penduduk.
Seorang penduduk, Hasnah Hashim, 63, berkata, dia berada di halaman rumah ketika kejadian kerana menunggu anak saudara dan kakaknya datang menjemput untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di Kulim.
Menurutnya, keadaan bertukar cemas apabila langit tiba-tiba gelap sebelum angin kencang bersama hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
“Bunyi deruman angin yang kuat sebelum saya lihat bumbung bilik tidur dan ruang tamu terangkat serta diterbangkan angin.
“Saya berlari masuk ke dalam rumah dan melihat beberapa keping bumbung di dapur tiada,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, hujan lebat menyebabkan air memasuki rumah dan membasahi televisyen, peti sejuk serta beberapa perabot kayu.
Sementara itu, Nurul Azia Kamaruddin, 36, berkata, dia sedang menemani dua anak saudaranya tidur di dalam bilik ketika terdengar bunyi angin kuat menuju ke arah rumah.
Katanya, beberapa keping zink kemudian diangkat dan diterbangkan angin menyebabkan dia segera membawa kedua-dua anak saudaranya ke bahagian dapur untuk berlindung.
“Saya turut memanggil mak untuk sama-sama berlindung di dapur selepas mendapati hujan mula masuk dan air bertakung di ruang tamu.
“Lebih kurang setengah jam kemudian, barulah hujan mula berhenti,” katanya.
Bagi Zainol Ahmad, 79, kejadian itu merupakan pengalaman pertama penduduk kampung berdepan ribut sedemikian.
Katanya, dia melihat pusaran angin menghampiri rumah sebelum berlari masuk, namun sebatang pokok durian tumbang menghempap dapur sehingga menyebabkan bumbung tercabut.
Penghulu Mukim Sidam Kiri, Mahadzir Mahmud berkata, tiada kecederaan dilaporkan.
Katanya, penduduk yang rumah mereka dihempap pokok sudah membuat laporan polis bagi memudahkan urusan bantuan.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda memaklumkan 20 rumah terjejas di Kampung Jerung, Kampung Banggol (dua), Kampung Lubuk Saga (enam), Kampung Kemumbung (tiga), Kuala Sedim (dua), Taman Sidam Kiri (sembilan), Kampung Tanah Licin (dua) dan sebuah kedai di Kampung Benggali. – UTUSAN











