Agrobank perkukuh pemahaman pertanian warga kerja melalui AU-ACP - Utusan Malaysia

Agrobank perkukuh pemahaman pertanian warga kerja melalui AU-ACP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank terus memperkukuh pemahaman warga kerjanya terhadap sektor pertanian menerusi Program Pensijilan Pertanian Agrobank-UPM (AU-ACP), hasil kerjasama dengan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerjasama yang dimulakan sejak 2017 itu kini melahirkan seramai 190 graduan daripada enam kumpulan, termasuk 26 warga kerja yang menamatkan program bagi sesi 2025/2026 dan diraikan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pendedahan kepada sektor pertanian membolehkan warga kerja memahami dengan lebih dekat realiti serta cabaran yang dihadapi pelanggan bank.

“Pelanggan kita datang daripada pelbagai bidang dalam sektor pertanian dan setiap perniagaan mempunyai keperluan serta cabaran yang berbeza.

“Sebab itu penting untuk warga Agrobank memahami bukan sahaja aspek pembiayaan, tetapi juga perniagaan di sebaliknya.

“Melalui AU-ACP, mereka berpeluang belajar dan melihat sendiri bagaimana sektor ini beroperasi. Harapan kami mudah, apabila kita lebih memahami pertanian, kita juga dapat memahami dan menyokong pelanggan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

AU-ACP menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal, termasuk kerja makmal, aplikasi praktikal dan lawatan ke operasi pertanian.

Peserta turut didedahkan kepada pelbagai bidang seperti pengeluaran tanaman, bioteknologi, mekanisasi, akuakultur dan industri berasaskan pertanian.

Pendedahan itu membolehkan warga kerja menghubungkan pengetahuan pertanian dengan tugasan masing-masing, termasuk memahami prinsip asas pertanian, aliran tunai dan daya maju sesuatu projek agromakanan.

Beliau berkata, pembangunan pengetahuan warga kerja perlu terus bergerak seiring dengan perubahan dalam sektor pertanian dan agromakanan.

“Pertanian sentiasa berkembang. Begitu juga cara kita bekerja dan menyokong pelanggan.

“Ilmu yang diperoleh tidak seharusnya berhenti selepas tamat program, tetapi dikongsi dan digunakan dalam tugasan seharian,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UPM, khususnya Fakulti Pertanian, atas perkongsian ilmu dan kepakaran serta kerjasama berterusan dalam menjayakan AU-ACP.

Kerjasama itu turut menyokong usaha Agrobank membina keupayaan warga kerja yang lebih memahami sektor pertanian dan keperluan pelanggan, sekali gus memperkukuh peranan bank dalam menyokong pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini