Belanjawan Negeri Sembilan boleh bentang tanpa Exco

Belanjawan Negeri Sembilan boleh bentang tanpa Exco

ISMAIL Lasim bersalaman dengan hadirin pada majlis penyampaian watikah pelantikan Ketua Kampung dan Setiausaha JPKK bagi sesi 2026-2028 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Belanjawan Negeri Sembilan masih boleh dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang walaupun tanpa kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, meskipun kebiasaannya belanjawan dibawa kepada Exco-exco untuk mendapatkan kelulusan, ia masih boleh dibentangkan terus kepada DUN mengikut keadaan semasa.

“Biasanya, bajet itu kita bawa kepada Exco untuk kelulusan. Sebaiknya kita bentangkan dulu. Tetapi dalam keadaan biasa juga, bajet yang disediakan oleh jabatan-jabatan ini akan kita bawa terus kepada Dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Ketua Kampung dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi sesi 2026-2028, di sini hari ini.

Ismail berkata, persidangan DUN yang sebelum ini dijadual pada 16 Oktober ini ditangguhkan ke penghujung November bagi membolehkan urusan perasmian dan pembentangan belanjawan dilaksanakan.

Menurutnya, persidangan itu dijangka bermula dengan perasmian oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 26 November diikuti pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan pada 27 November sebelum diteruskan dengan sesi perbahasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keputusan mengenai pengisian kekosongan jawatan Exco masih belum diputuskan dan perkara itu akan dilihat mengikut keadaan semasa.

“Belum tahu lagi, tengok keadaan. Kita tahu keadaan itu bila tiba masanya,” katanya.

Katanya, ketiadaan Exco ketika ini tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri berikutan urusan berkaitan portfolio masing-masing masih dilaksanakan oleh jabatan kerajaan.

“Sekarang ini ketua-ketua jabatan memainkan peranan untuk memastikan perjalanan kepentingan jabatan dan apa yang ada di bawah portfolio Exco berjalan seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan saman pemula yang difailkan 10 bekas Exco negeri itu bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka,  Ismail berkata, sebarang pertikaian berhubung perkara berkenaan wajar dirujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan tafsiran undang-undang.

“Apabila sesuatu perkara itu dipertikaikan, kita hendak mahkamah buat tafsiran undang-undang. Bila ada pertikaian tentang sesuatu perkara, tempat yang terbaik untuk kita rujuk adalah mahkamah.

“Jadi mahkamah akan buat tafsiran. Bukan soal peribadi dengan siapa-siapa pun,” katanya.

Selain itu, Ismail memaklumkan hubungannya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim masih baik.

“Semua bersikap profesional dalam menguruskan negeri ini sebab kita semua ada tanggungjawab kita masing-masing dan kebersamaan itu penting,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini