Pemeteraian perjanjian kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor ditandatangani sebelum pembentangan belanjawan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini rundingan masih berjalan melibatkan terma-terma perjanjian yang akan dimuktamadkan antara pembangkang dengan kerajaan negeri.
Katanya, bagaimanapun tiada permintaan yang luar biasa antara kedua-dua pihak sepanjang rundingan berjalan dan akan dimaklumkan apabila semua bersedia menandatangani persetujuan.
“Dalam perbincangan ada tolak tarik, runding, itu perkara biasa. Cuma perbincangannya belum berakhir lagi.
“Setakat yang saya faham, mereka (Bersatu Selangor) ada 11 ADUN. 12 mungkin termasuk ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. Kalau kesemuanya terlibat, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di sini, hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan ADUN Selangor dari Bersatu dijangka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama.
Satu sumber dalam parti itu mendedahkan, kerjasama tersebut melibatkan keseluruhan 11 ADUN daripada parti berkenaan yang selepas ini akan dianggap sebagai penyokong kerajaan negeri.
Jelas Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, beliau enggan mengulas jika kerjasama itu menunjukkan kelemahan pembangkang, namun memaklumkan perihal hak sebagai ADUN dirujuk seperti mana perjanjian yang berlaku di Dewan Rakyat ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
“Saya tak pasti (soal kelemahan pembangkang), tetapi ada kemahuan itu dan kita bincanglah untuk ke arah itu. Itu kaedahnya. Namun, tanpa perjanjian pun pembangkang tetap dapat peruntukan walaupun satu perdua daripada keseluruhan.
“Kita ambil pengalaman dan iktibar daripada pengalaman CSA di antara PH pada masa itu sebagai pembangkang, bersama dengan Ismail Sabri,” ujarnya. – UTUSAN











