Jerebu: Tiga stesen di Pulau Pinang rekod bacaan IPU tidak sihat

Jerebu: Tiga stesen di Pulau Pinang rekod bacaan IPU tidak sihat

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tiga daripada empat stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang ketika ini iaitu Seberang Perai, Minden dan Seberang Jaya merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori tidak sihat iaitu antara 152 hingga 155 sehingga pukul 7 pagi tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo, satu lagi stesen iaitu di Balik Pulau bagaimanapun berada pada kategori sederhana apabila merekodkan bacaan IPU pada tahap 92.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah jantung dan pernafasan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan sekiranya keadaan kualiti udara terus berada pada tahap tidak sihat.

“Bagi individu yang mengalami gejala seperti batuk, kesukaran bernafas atau ketidakselesaan berkaitan pernafasan, adalah dinasihatkan untuk mengehadkan aktiviti fizikal di luar dan mendapatkan nasihat perubatan sekiranya keadaan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sundarajoo berkata, kerajaan negeri melalui agensi-agensi yang berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU terkini dari semasa ke semasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan orang ramai menerima maklumat yang tepat mengenai status kualiti udara.

“Pada masa yang sama, saya menyeru semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan tidak membuat sebarang aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara. Dalam hal ini, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu mengekalkan kualiti alam sekitar, khususnya ketika keadaan kualiti udara kurang baik,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada portal rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sistem MyEQMS/APIMS untuk mendapatkan bacaan IPU terkini sebelum merancang aktiviti luar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN