Lama ‘berehat’ daripada dunia nyanyian kerana sibuk memenuhi tuntutan sebagai pengacara dan pelakon, selebriti serba boleh, Elly Mazlein, kini mahu kembali kepada bidang yang pernah menjadi antara tunjang perjalanan seninya itu.
Bagi Elly, sudah tiba masanya untuk memberi keutamaan kepada nyanyian selepas sekian lama dia lebih banyak menerima tawaran pengacaraan sehingga terpaksa memperlahankan langkah dalam bidang tersebut.
Malah, Elly yang popular dengan panggilan Kak Lina mengakui sudah lama tidak menghasilkan lagu baharu dan melihat kini waktu yang tepat untuk kembali memperkenalkan karya segar kepada peminat.
Bagaimanapun, keputusan memperlahankan aktiviti pengacaraan dan lakonan itu bukan bermakna Elly mahu bersara daripada kedua-dua bidang berkenaan.
Sebaliknya, dia cuma mahu menyusun semula keutamaan dalam kerjaya dan memberikan ruang kepada dirinya untuk kembali menghidupkan kecintaan terhadap nyanyian.
“Sebenarnya, bukanlah saya bersara daripada bidang pengacaraan ataupun lakonan. Cuma saya memperlahankan sedikit aktiviti dalam kedua-dua bidang tersebut kerana saya mahu memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.
“Saya pun sudah lama tidak mengeluarkan lagu baharu. Jadi, inilah masa yang paling tepat untuk saya kembali mengeluarkan lagu baharu.
“Jangan risau kepada semua peminat yang merindui saya mengacara atau berlakon di televisyen. Saya akan muncul semula, tetapi buat masa ini saya memperlahankan aktiviti tersebut kerana mahu memberikan keutamaan kepada bidang nyanyian,”katanya.

Dalam masa sama, Elly menjelaskan dia masih menerima tawaran sebagai pengacara, namun hanya untuk tugasan yang bersifat one-off dan tidak memerlukan komitmen panjang.
Menurutnya, dia perlu lebih selektif dalam memilih tawaran supaya tidak menjejaskan perancangan untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.
Selain nyanyian, Elly turut mempunyai beberapa komitmen lain termasuk menguruskan perniagaan serta kerjasama bersama jenama yang memerlukan perhatian dan perancangan tersendiri.
Apatah lagi, persiapan menjelang Aidilfitri juga sudah mula dilakukan lebih awal dan beberapa urusan perniagaan perlu diberi perhatian.
“Saya lebih kepada mahu memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian dan kembali menyanyi. Lepas itu, saya pun mahu memberikan tumpuan kepada tugas sebagai duta Jakel dan jenama-jenama yang lain sebab kita pun tidak lama lagi nak raya.
“Kita sudah mula buat persiapan. Jadi, dengan perniagaan saya, Daging Salai Masak Lemak, kemudian dengan perniagaan baharu saya yang insya-Allah akan saya keluarkan tidak lama lagi,”katanya.
Biarpun keputusan yang dibuat memberi maksud bahawa dia terpaksa menolak atau melepaskan sesetengah tawaran pengacaraan yang mungkin menawarkan bayaran lumayan, Elly tidak melihat perkara berkenaan sebagai satu kerugian.
Sebaliknya, dia percaya kehidupan memerlukan seseorang membuat pilihan berdasarkan apa yang sesuai dengan keadaan dan keutamaan pada sesuatu ketika.
Lebih penting, pengalaman bertahun-tahun dalam industri seni membolehkannya berada pada kedudukan untuk memilih laluan kerjaya yang benar-benar mahu diberi perhatian.
“Dalam kehidupan kita kena memilih. Kita kena memilih apa yang bersesuaian. Betul orang kata, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Alhamdulillah, saya ambil nasihat Mama dan Abah, kerja kuat dahulu supaya apabila sudah sampai masanya seperti sekarang, apabila umur pun sudah banyak, saya sudah boleh memilih apa yang saya mahu buat,”ujarnya.
Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, Elly bersyukur kerana pernah melalui fasa bekerja tanpa terlalu memikirkan soal jumlah tawaran atau masa yang perlu diperuntukkan.
Kini, dia melihat dirinya berada dalam fasa berbeza apabila sudah mampu menentukan sendiri hala tuju yang mahu dibawa dalam kerjaya seni.
“Saya bersyukur sebab dahulu memang saya tidak berkira soal kerja. Memang kerja sahaja. Sekarang ini saya berada dalam fasa sudah boleh memilih apa yang saya mahu buat berdasarkan usia saya sekarang.
“Jadi, kepada semua peminat, jangan risau. Saya tidak bersara dalam bidang pengacaraan dan juga lakonan,”katanya.











