PETALING JAYA: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) belum bersedia membuat kesimpulan terhadap pencapaian skuad memanah negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum menerima laporan penuh daripada barisan kejurulatihan.
Presidennya, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pihak persatuan perlu meneliti prestasi atlet secara menyeluruh termasuk perbandingan pencapaian, skor dan prestasi mereka di pentas antarabangsa sebelum mengenal pasti punca kegagalan meraih pingat.
Menurut beliau, penilaian secara menyeluruh penting bagi memastikan sebarang rumusan yang dibuat berasaskan fakta dan bukan sekadar melihat keputusan akhir.
“Saya belum dapat laporan penuh daripada ketua jurulatih. Mereka masih menyusun semua rekod dan keputusan untuk diberikan kepada persatuan.
“Memang kita tahu kita tidak mendapat pingat, tetapi dalam pertandingan antarabangsa kita perlu lihat prestasi mereka, sama ada meningkat atau menurun berbanding Sukan SEA sebelum ini.
“Saya tidak mahu terus menyalahkan mereka kerana kita perlu lihat keputusan sebenar terlebih dahulu. Kalau prestasi atau skor mereka menurun, barulah kita boleh katakan pencapaian itu tidak baik,” katanya.
Terdahulu, Majlis Sukan Negara (MSN) mahu penilaian semula dibuat bersama persatuan dan jurulatih bagi sukan memanah, menembak, olahraga dan renang berikutan kegagalan mereka menyumbang pingat pada temasya di Aichi-Nagoya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, saingan di peringkat Asia sememangnya sengit memandangkan temasya tersebut menghimpunkan kuasa besar memanah seperti Korea Selatan dan China selain beberapa negara lain yang turut mempunyai tradisi kuat dalam sukan berkenaan.
“Ini Sukan Asia. Dalam kumpulan Asia, semua adalah yang terbaik. Menang di Asia boleh dianggap seperti menang di peringkat dunia.
“Korea ada, China ada, Indonesia dan negara-negara lain juga ada. Jadi saya belum berani memberikan komen sebelum melihat keputusan dan prestasi mereka secara terperinci,” katanya.
Beliau turut berkata, laporan berkenaan akan menjadi asas kepada sesi bedah siasat bersama MSN yang dijangka diadakan selepas persatuan menerima laporan lengkap daripada barisan kejurulatihan.
“Kalau kita masih berada dalam kelompok terbaik Asia, kita perlu menilai semula kedudukan itu dan menetapkan sasaran seterusnya, termasuk untuk Sukan SEA akan datang.
“Sebab itu saya mahu semua laporan lengkap terlebih dahulu sebelum kita buat bedah siasat,” katanya. – UTUSAN











