30,000 penduduk Rantau Panjang resah

30,000 penduduk Rantau Panjang resah PLSB Sungai Golok tertangguh

PENDUDUK berharap projek Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan dapat disiapkan mengikut jadual. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kira-kira 30,000 penduduk di daerah ini resah apabila Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang diharapkan mampu menangani masalah banjir masih tertangguh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebimbangan itu lebih dirasai penduduk di dua kampung paling hampir dengan projek berkenaan, iaitu Kampung Tersang dan Kampung Lachang yang terdedah kepada risiko banjir setiap kali musim tengkujuh.

Seorang penduduk, Wan Rohaya Abdullah, 36, berkata kebimbangan penduduk Kampung Tersang tidak pernah reda apabila mereka terpaksa berdepan ancaman banjir pada tahun ini.

Katanya, sejak pembinaan benteng projek berkenaan pada 2018, penduduk bukan sahaja berdepan bah besar, malah kehilangan harta benda akibat bencana itu.

“PLSB belum siap, kami di sini akan dilanda banjir lagi. Mudah-mudahan tahun ini tiada banjir besar seperti tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Abdullah Mat Yunus, 65, berkata rumah penduduk di kampung berkenaan ditenggelami banjir sehingga paras bumbung setiap tahun.

Katanya, kelewatan projek PLSB itu menimbulkan kebimbangan kerana penduduk terpaksa bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir besar.

“Setiap kali hujung tahun kami bersedia untuk menyelamatkan diri dan berpindah ke pusat pemindahan banjir sementara,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan penduduk di kawasan sempadan Kelantan terus terdedah kepada risiko banjir berulang apabila projek PLSB Sungai Golok mengalami kelewatan dari aspek skop, tempoh, kos dan kualiti.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, projek PLSB Sungai Golok masih belum disiapkan seperti ditetapkan.

Beliau berkata, fasa satu projek itu mengalami kelewatan dan telah diluluskan Pelanjutan Masa sehingga 21 Julai 2027 berbanding tarikh siap dalam perjanjian tambahan pada 13 Ogos 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN