ARAU: UMNO Perlis memberi sepenuh tumpuan dan melaksanakan gerak kerja di semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abd. Rahman berkata, hal ini kerana belum ada sebarang persefahaman dengan Pas.

Beliau berkata, UMNO di Perlis meneruskan gerak kerja seperti biasa dan apabila tiba masanya namun tidak mustahil ruang kerjasama UMNO dan Pas di negeri ini dalam keadaan rundingan PRU16 masih terbuka.
“Kita juga masih menunggu persefahaman antara dua parti itu di peringkat pusat dan setiap negeri pastinya ada kaedah berbeza berhubung kerjasama UMNO dan Pas.
“Ruang kerjasama tetap terbuka, namun buat masa ini, UMNO Perlis akan meneruskan kerja seperti biasa di 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen.
“Situasi di negeri-negeri berbeza dan kerjasama tersebut akan bergantung kepada situasi di negeri-negeri masing,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam PRU15, UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal meraih sebarang kerusi sekali gus menjadikan formula agihan kerusi jika kerjasama dengan Pas itu berlaku memerlukan penilaian semula.
Sementara itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, tumpuan kerjasama UMNO dan Pas dilihat lebih kepada kerusi di peringkat Parlimen yang bakal memberi kesan kepada pembentukan kerajaan di pusat.
“Di negeri (DUN), ruang kerjasama tersebut masih terbuka dan bergantung kepada keadaan selepas ini,” katanya.











