KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan dan berpotensi mencapai tahap ‘super’ atau sangat kuat bermula bulan ini hingga Januari depan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko cuaca lebih panas dan kering serta kejadian pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.
Katanya, analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.
“Situasi itu menyumbang kepada risiko kejadian pembakaran terbuka khususnya di tanah gambut, hutan, belukar dan tapak pelupusan sampah yang boleh menyebabkan jerebu,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) mengenai kesediaan negara menghadapi cabaran El Nino dan kesediaan untuk berunding dengan negara jiran bagi mewujudkan akta menangani isu jerebu rentas sempadan.
Arthur berkata, sebagai antara langkah menangani jerebu dan mengurangkan risiko impak El Nino, sebanyak lapan siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di seluruh negara antara 30 Ogos hingga 3 Oktober lalu.
Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), membabitkan kawasan di utara, tengah dan selatan Semenanjung serta Sarawak sepanjang episod jerebu merentas sempadan.
“Operasi berkenaan menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran. Pelaksanaan OPA ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian keperluan dan keadaan cuaca serta kesesuaian atmosfera,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi berkaitan turut melaksanakan pelbagai tindakan kesiapsiagaan bagi menghadapi fenomena El Nino.
“Di peringkat domestik pula, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) menyediakan garis panduan tindakan merangkumi aspek pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan terhadap semua jenis pembakaran terbuka sudah diaktifkan sejak 15 Februari lalu.
“Selain itu, Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi Pelaksanaan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut untuk mengatasi jerebu di Malaysia turut diaktifkan pada 26 Februari 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, kementeriannya sudah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dari pelbagai sudut, termasuk kebolehlaksanaan undang-undang, hubungan diplomatik dengan negara jiran serta pelaksanaan akta seumpamanya oleh negara lain bagi memastikan tiada pembaziran sumber dalam menggubal akta berkenaan.
Katanya, keberkesanan sesuatu undang-undang bukan hanya bergantung kepada kewujudan peruntukan, tetapi juga keupayaan mendapatkan bukti, menjalankan siasatan dan menguatkuasakan akta terhadap pihak yang berada di luar bidang kuasa Malaysia.
“Pelaksanaan undang-undang yang mempunyai elemen merentas sempadan oleh negara ASEAN lain menunjukkan bahawa terdapat cabaran dari segi penguatkuasaan.
“Oleh itu, sebarang cadangan undang-undang baharu perlu dinilai secara menyeluruh dari segi keberkesanan, boleh dikuatkuasakan, beban pembuktian, implikasi diplomatik dan keserasiannya dengan undang-undang sedia ada.
“Pada masa ini, tindakan yang lebih segera ialah memperkukuh pelaksanaan undang-undang domestik bagi mengekang pembakaran terbuka oleh setiap Negara Anggota ASEAN, meningkatkan perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan antara negara serta memastikan komitmen di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dilaksanakan sepenuhnya secara serius,” katanya.-UTUSAN











