PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat yang masih berdepan tekanan kos sara hidup, terutama menjelang Belanjawan 2027.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, ekonomi Malaysia berkembang enam peratus pada suku kedua 2026, mengatasi jangkaan, manakala pasaran buruh kelihatan stabil dengan kadar pengangguran sekitar tiga peratus.
“Nilai ringgit kekal kukuh sepanjang tahun ini walaupun berdepan keadaan global yang tidak menentu. Pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 kekal mampan, berjumlah RM218.5 bilion,” jelas beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau mempersoalkan mengapa ramai rakyat masih tidak merasai manfaat pertumbuhan ekonomi atau mengendahkan angka rasmi kerajaan yang dilaporkan memberangsangkan.
Menjelang Belanjawan 2027, jelasnya, tujuh realiti ekonomi perlu diberikan perhatian bagi memastikan pertumbuhan tidak sekadar tercermin melalui angka rasmi kerajaan.
Mohd Syahir berkata, ruang fiskal kerajaan semakin terhad apabila defisit fiskal turun secara konsisten daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025.
“Susulan peningkatan harga minyak dunia, Kementerian Kewangan menganggarkan subsidi bahan api boleh mencecah RM40 bilion tahun ini, terutama bagi petrol dan diesel,” maklum beliau.
Katanya, kos sara hidup terus membebankan isi rumah walaupun kadar inflasi rasmi (IHP) hanya mencatatkan 1.8 peratus pada Julai.
Menurutnya, kadar inflasi rendah tidak semestinya menggambarkan tekanan kos sara hidup setiap isi rumah kerana corak serta komposisi perbelanjaan adalah berbeza.
Beliau mendedahkan, seramai 68,177 pekerja kehilangan pekerjaan antara Januari hingga September tahun ini dalam pelbagai sektor ekonomi.
Menurut beliau, golongan terjejas memerlukan intervensi dan sokongan sementara bagi membantu mereka kembali memasuki pasaran pekerjaan selepas kehilangan pekerjaan.
Mohd Syahir menyatakan, perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan kenaikan kos input serta permintaan yang semakin lemah.
Pada masa sama menurutnya, persaingan daripada platform e-dagang dan kemasukan jenama luar dalam sektor makanan serta kepenggunaan turut memberi tekanan kepada pengusaha tempatan.
Selain itu, perkara kelima, beliau berkata, isi rumah termiskin juga hampir tiada baki selepas berbelanja, berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mengenai kedudukan kumpulan pendapatan terbawah.
Menurutnya, baki purata isi rumah dalam kumpulan 10 peratus berpendapatan terendah merosot 81 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Baki purata isi rumah dalam kumpulan 10 peratus berpendapatan terendah merosot daripada RM219 pada 2019 kepada hanya RM41 pada 2024 selepas mengambil kira perbelanjaan,” ujar beliau memetik laporan KRI tersebut.
Mohd Syahir menyatakan, upah rendah masih meluas apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan median upah bulanan pekerja sektor formal ialah RM3,027 pada Mac 2026.
Keadaan itu jelas beliau bermakna, separuh daripada pekerja sektor formal memperoleh RM3,000 atau kurang, berdasarkan taburan upah yang dilaporkan DOSM.
Dalam taburan sama, katanya, 10 peratus pekerja memperoleh kurang daripada RM1,700, manakala 20 peratus pekerja memperoleh kurang daripada RM1,800.
Berdasarkan tujuh realiti ekonomi itu, Mohd Syahir berkata, Belanjawan 2027 perlu mengimbangi disiplin fiskal dengan keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Terpenting, menurut beliau, Belanjawan 2027 perlu mengiktiraf peranan golongan pertengahan (M40) melalui ‘pakej sokongan’ lebih bersasar.
Langkah itu menurut beliau, penting bagi meringankan tekanan kewangan yang semakin dirasai golongan berkenaan dalam kehidupan seharian.
Beliau menyatakan, kos penjagaan kesihatan, penjagaan anak, pendidikan dan komitmen perumahan mengambil bahagian semakin besar daripada pendapatan isi rumah.
Ramai juga, katanya, tergolong dalam ‘generasi sandwic’ yang perlu menyara anak-anak serta ibu bapa yang semakin berusia.
“Tekanan ini dijangka meningkat apabila Malaysia beralih ke arah masyarakat menua. Ketua isi rumah yang bekerja bakal memikul tanggungjawab penjagaan dan komitmen kewangan yang lebih besar,” ulas beliau.
Menjelang Belanjawan 2027, beliau menggesa, tumpuan diberikan kepada pendapatan isi rumah, kestabilan pekerjaan dan tekanan kos sara hidup.-UTUSAN











