PRISTINA: Parlimen Kosovo memilih pakar ekonomi, Justina Shiroka Pula, sebagai presiden negara itu, beberapa minit sebelum tempoh akhir perlembagaan sekali gus mengelak pilihan raya mengejut di salah satu negara termiskin di Eropah.
Beliau memperoleh 81 undi, iaitu satu undi melebihi jumlah minimum diperlukan, dalam Parlimen yang mempunyai 120 kerusi itu pada awal pagi Rabu.
Kegagalan memilih presiden baharu akan mencetuskan pilihan raya parlimen mengejut di negara Balkan berkenaan, seperti yang berlaku pada Jun lalu.
“Mandat ini bukan milik seorang individu. Ia milik rakyat kita… Saya akan menjadi presiden kepada semua rakyat,” kata Shiroka Pula selepas pengundian.
Pemilihan Shiroka Pula susulan persetujuan antara parti pemerintah Vetevendosje pimpinan Perdana Menteri, Albin Kurti dan Parti Demokratik Kosovo (PDK) pembangkang untuk mengehadkan kuasa mahkamah jenayah perang Kosovo di The Hague.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air pada Isnin bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang menuntut perubahan terhadap mahkamah itu diluluskan. Pengkritik mendakwa hukuman yang dijatuhkan mahkamah berkenaan terlalu berat.
16 September lalu, mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 81 tahun terhadap bekas Presiden Hashim Thaci dan tiga individu lain atas kesalahan jenayah perang ketika Kosovo berperang untuk berpisah daripada Serbia pada 1998 hingga 1999.
Jawatan presiden di Kosovo kebanyakannya bersifat istiadat, namun sering menjadi punca ketidakstabilan politik kerana calon presiden perlu mendapat sokongan dua pertiga anggota Parlimen untuk dipilih, manakala parti-parti politik sukar mencapai persetujuan mengenai calon.
Shiroka Pula, 73, dilahirkan pada 1953 dan kini merupakan Presiden Akademi Sains dan Seni Kosovo. Beliau juga seorang profesor ekonomi dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi dari 2008 hingga 2011.- AGENSI











