Kosovo saman menteri Serbia isu pembersihan etnik - Utusan Malaysia

Kosovo saman menteri Serbia isu pembersihan etnik

SNEZANA PAUNOVIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRISTINA: Kosovo kelmarin memfailkan saman terhadap seorang menteri Serbia yang membuat kenyataan mahu melakukan ‘pembersihan etnik’ di wilayah itu sekiranya berkuasa ketika konflik antara pemerintah dengan etnik Albania pada era 1990-an.

Kenyataan Menteri Pentadbiran Awam Serbia, Snezana Paunovic itu mencetuskan bantahan berterusan sejak beberapa hari lalu, termasuk kecaman daripada Brussels dan larangan memasuki Kosovo, negara tempat beliau dilahirkan.

Menteri Kehakiman Kosovo, Donika Gervalla berkata, beliau sudah memfailkan pertuduhan menghasut perpecahan dan kebencian kepada pihak pendakwa raya.

“Kenyataan itu membawa implikasi sejarah, undang-undang dan kemanusiaan yang serius,” katanya.

Pada hujung minggu lalu, Paunovic berkata, beliau akan menyingkirkan etnik Albania dari Kosovo sekiranya berada di tempat bekas pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic ketika perang 1998-1999.

“Jika saya berada di tempat Milosevic pada 1998, saya akan melakukan pembersihan etnik di Kosovo. Itulah kenyataan paling keras yang pernah saya ungkapkan,” kata Paunovic dalam wawancara bersama sebuah saluran televisyen yang berpangkalan di Belgrade pada Isnin. 

Pada Khamis, Kementerian Luar Britain menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘amat menjijikkan’ dan menegaskan ia tidak mempunyai tempat dalam masyarakat ketika ini.

Walaupun didesak meletak jawatan, Paunovic pada Khamis memohon maaf kerana menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan sukar. Namun, beliau enggan menarik balik kenyataannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN