IRKUTSK: Laporan kematian seorang pekerja makmal akibat jangkitan misteri tidak menggusarkan penduduk di wilayah Irkutsk, meskipun berita itu mencetuskan kebimbangan dan spekulasi di luar Russia.
Kematian juruteknik makmal berusia 28 tahun itu pertama kali dilaporkan pada 2 Oktober lalu, dengan beberapa media Russia mendakwa wanita terbabit meninggal dunia akibat wabak pneumonia dan puluhan individu lain dikuarantin.
Portal berita Russia, People of Baikal, melaporkan wanita terbabit mungkin dijangkiti wabak selepas tiub uji pecah di makmal berkenaan.
Media lain turut melaporkan kemungkinan kaitan antara kematiannya dengan kemalangan di sebuah institut pencegahan wabak di wilayah Irkutsk, Siberia.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Russia menafikan pelaksanaan sebarang langkah khas bagi membendung wabak, manakala gabenor wilayah Irkutsk berkata tiada bukti menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat penyakit tersebut.
Seorang penduduk Irkutsk berkata, mereka tidak menganggap laporan itu sebagai ancaman serius dan percaya tindakan lebih tegas sudah diambil jika keadaan membimbangkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, risiko daripada insiden itu berada pada tahap sederhana hingga rendah, namun wabak pnemonia boleh membawa maut jika tidak dirawat di peringkat awal.
AS, WH
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin memaklumkan akan bercakap dengan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin, berhubung laporan kematian tersebut.
Washington semakin bimbang mengenai perkembangan itu apabila Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menggesa Russia supaya memberikan penjelasan secara terbuka mengenai situasi berkenaan.
“Kami menggesa Russia bersikap telus dan berkongsi lebih banyak maklumat dengan dunia supaya kita semua dapat bertindak sewajarnya,” kata Rubio ketika lawatan ke Iceland.- AFP











