KUSKOP bawa 40 usahawan mikro ke F1, sewa tapak percuma dan komisen 0%

KUSKOP bawa 40 usahawan mikro ke F1, sewa tapak percuma dan komisen 0%

SUASANA di Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membawa 40 usahawan mikro tempatan menerusi 40 gerai ke Litar Rasa MADANI di G Hillstand sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 sekali gus membuka peluang kepada perniagaan kecil tempatan untuk berniaga dalam acara bertaraf antarabangsa dengan kos yang jauh lebih rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kadar sewa komersial di G Hillstand bagi tempoh tiga hari melebihi RM6,000, tidak termasuk SST, selain komisen sebanyak 15% daripada jumlah jualan kasar.

Namun, bagi 40 usahawan Litar Rasa MADANI, mereka tidak dikenakan sewa tapak atau komisen jualan. Mereka hanya perlu membayar RM180 bagi lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang.

KUSKOP turut menyediakan khemah, meja, kerusi, peti penyejuk, kipas serta keperluan asas gerai supaya usahawan dapat memberi tumpuan kepada stok, tenaga kerja dan operasi perniagaan mereka.

Di kawasan G Hillstand, pengunjung turut menikmati kemudahan isi semula air dan ruang makan, selain akses mudah kepada tandas dan surau.

Litar Rasa MADANI ditempatkan khusus di G Hillstand, iaitu kawasan Tiket MADANI berharga RM200 untuk tiga hari, dengan 10,000 tiket diperuntukkan khas kepada pemegang MyKad.

Sepanjang tiga hari acara, 40 gerai tersebut menawarkan lebih 100 pilihan makanan dan minuman, termasuk makanan tempatan seperti nasi lemak ayam rendang, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak dan keropok lekor. Antara harga yang ditawarkan ialah air mineral RM3, pencuci mulut dari RM1, waffle sekitar RM6, nasi lemak ayam rendang RM15 dan sebagainya.

Menurut Steven Sim, konsep tersebut bukan sahaja memberi pilihan makanan pada harga berpatutan kepada pemegang Tiket MADANI, malah memastikan limpahan ekonomi daripada acara antarabangsa seperti Formula 1 turut sampai kepada usahawan kecil tempatan.

“Acara antarabangsa seperti F1 tidak semestinya hanya membuka peluang kepada syarikat besar. Tugas KUSKOP ialah memastikan usahawan kecil Malaysia juga ada ruang untuk berada di pentas itu.

“Hasilnya, ramai peniaga terpaksa menambah stok beberapa kali sepanjang acara. Pengunjung dapat menikmati F1 dengan makanan dan minuman pada harga yang berpatutan, manakala usahawan kita pula dapat berniaga dan mendapat pelanggan baharu,” tambah beliau.

Sepanjang tiga hari acara, keseluruhan jualan makanan dan minuman di G Hillstand mencecah RM555,000 melepasi sasaran awal RM500,000.

KUSKOP akan terus memperluaskan akses pasaran kepada perusahaan mikro dan kecil dengan mengurangkan halangan kos serta membuka lebih banyak peluang untuk mereka menyertai acara dan pasaran berskala besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN