JERANTUT: Seorang bekas pekerja swasta di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, yang terlantar akibat ketumbuhan usus, masalah saraf dan gangguan penglihatan memerlukan bantuan perubatan serta sara hidup.
Saadun Mohamad Saada, 61, kini dijaga oleh isteriya, Halimatun Saadiah Ahamad, 48, kerana empat anak mereka sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan di Johor dan daerah lain di negeri ini.
Saadun berkata, penyakit dihidapinya itu dikesan doktor selepas dia mengalami sakit mata berpanjangan sewaktu bekerja.
“Selepas itu, kesihatan mula menurun lalu terus membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh awal tahun lalu. Doktor beritahu saya mengalami ketumbuhan di bahagian bawah dan belakang usus besar yang menyebabkan tekanan serta gangguan pada saraf. Keadaan ini menyebabkan perut saya membengkak dan kembung seperti busung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Saadun, susulan masalah saraf yang dihidapi, dia juga mengalami kesukaran untuk menggerakkan anggota badan dan tidak lagi mampu berdiri atau berjalan.
“Saya juga mengalami masalah penglihatan pada mata sebelah kanan yang berpanjangan. Sejak terlantar, isteri bantu menjaga makan dan minum manakala sekali-sekala anak yang tinggal di Johor bergilir-gilir mengambil cuti pulang menziarahi di sini,” katanya.
Menurutnya, dia berhenti bekerja pada awal tahun ini selepas dikesan penyakit tersebut dan kini tanpa sumber kewangan untuk sara hidup dan rawatan di hospital.
Katanya, anaknya yang bekerja dan tinggal di Johor pernah beberapa kali membawanya membuat pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru tetapi keadaan penyakit yang ditanggung masih tidak berubah.
“Saya tidak mampu daripada segi kewangan untuk membiaya rawatan dan perubatan termasuk berulang-alik ke hospital. Cuma anak-anak membantu menjaga kebajikan walaupun mereka masing-masing mempunyai tanggungan keluarga ramai serta pelbagai komitmen melibatkan perbelanjaan tinggi.
“Cuma sekali-sekala harapan bersandar kewangan hasil sawit milik kebun ibu bapa cuma untuk belanja barang keperluan dapur mana mampu untuk komitmen rawatan dan perubatan di hospital,” katanya.
Katanya, dia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM2,500 sebulan untuk menyediakan lampin pakai buang, pad/alas katil dan keperluan kebersihan diri, ubat-ubatan, susu khas, barang keperluan dapur, pengangkutan serta rawatan di hospital termasuk bil air dan elektrik.
“Isteri tidak bekerja kerana masa seharian dihabiskan untuk kebajikan makan-minum, ubat dan menguruskan kebersihan diri saya dan keperluan tertentu. Saya begitu berharap ada pihak berwajib, dermawan dan pertubuhan bukan kerajaan dapat membantu meringankan penderitaan ini khususnya kewangan perubatan dan sara hidup,” katanya. – UTUSAN











