KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi berharap beberapa cadangan yang dikemukakan termasuk berkaitan pembangunan ekonomi kreatif mendapat pertimbangan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ekonomi jingga atau ekonomi kreatif menjadi antara fokus baharu kementerian selain usaha dan program di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta jabatan berkaitan.
“Memandangkan kita telah bentuk satu Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik dan juga seni dan budaya.
“Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita harap dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13): Hala Tuju dan Cabaran, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan khabar baik dalam Belanjawan 2027 pada Jumaat ini, Fahmi berkata, anggota Jemaah Menteri biasanya hanya mengetahui perkara yang diluluskan ketika Perdana Menteri menyampaikan ucapan Belanjawan.
“Saya pun belum tahu. Biasanya anggota Jemaah Menteri hanya akan tahu pada ketika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyampaikan ucapan.
“Kita tidak diberikan sebarang bayangan apa yang diluluskan, apa yang kami mohon,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. – UTUSAN











