KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan Aspirasi Integriti Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Integrity – OBI) sebagai pendekatan baharu bagi membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendekatan itu memastikan setiap instrumen tadbir urus, integriti dan antirasuah menghasilkan keberhasilan nyata, khususnya dalam mengurangkan risiko ketirisan dan penyelewengan.
Menurut beliau, OBI memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pengurangan risiko ketirisan dan penyelewengan, kecekapan serta ketelusan penyampaian perkhidmatan awam dan peningkatan tahap kepercayaan rakyat serta pelabur.
“Menerusi OBI, setiap instrumen tadbir urus (governans), integriti dan antirasuah wajib membawa keberhasilan nyata (tangible outcomes).
“OBI memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan fundamental; kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam; serta peningkatan ketara tahap kepercayaan rakyat (Public Trust Index) dan pelabur,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hajiji berkata, pendekatan tadbir urus negeri kini beralih daripada bersifat reaktif kepada formula 3P iaitu Proactive, Predictive and Preventive (Proaktif, Ramalan dan Pencegahan), dengan penekanan terhadap langkah pencegahan berdasarkan penilaian risiko.
Katanya, pengukuran keberhasilan OBI akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan semua ketua jabatan dan kepimpinan syarikat kerajaan negeri.
“Prestasi pentadbiran akan diukur berdasarkan pengurangan risiko ketirisan serta kecekapan perkhidmatan.
“Integriti adalah enjin penggerak, memastikan setiap dana awam dan setiap dasar kerajaan memberikan nilai pulangan optimum serta impak nyata kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan mahu pun penyelewengan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan turut menjadi antara asas penting Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026-2030), yang meletakkan Tadbir Urus Berintegriti sebagai satu daripada lima Pemboleh Daya Strategik utama.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut komited memperkasa digitalisasi, analisis data dan wawasan tingkah laku, selain memperluas peranan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) serta memperkukuh Unit Integriti. – UTUSAN











