Belanjawan 2027 : Pelaburan kesihatan demi generasi sihat

Belanjawan 2027 : Pelaburan kesihatan demi generasi sihat

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu diberi peruntukan khas dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pendidikan kesihatan keluarga, pemakanan dan intervensi awal kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan pencapaian pendidikan dan ekonomi generasi muda, sebaliknya perlu turut mengutamakan tahap kesihatan mereka. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Hal ini penting bagi memastikan generasi pewaris bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan ekonomi, malah memiliki kesihatan yang baik demi menjamin keutuhan negara.

Pada masa ini, kita perlu mengubah pemikiran yang penjagaan kesihatan bukan sekadar berkaitan hospital, doktor dan rawatan tetapi turut melibatkan pendidikan yang membolehkan masyarakat mencegah penyakit sebelum berlaku. 

Setiap keluarga perlu mempunyai pengetahuan tentang nutrisi, tumbesaran kanak-kanak, pemilihan makanan, penjagaan kesihatan, perkembangan emosi dan mental serta tanda awal masalah perkembangan yang memerlukan intervensi. Hal ini semakin penting apabila masyarakat berhadapan dua cabaran pemakanan secara serentak, iaitu kekurangan zat dan peningkatan obesiti yang kritikal.

Perhatian terhadap kesihatan perlu bermula sejak awal kehidupan, khususnya sepanjang tempoh kehamilan hingga anak berusia dua tahun. 

Fasa ini penting untuk membentuk asas pertumbuhan fizikal, perkembangan kognitif, kesihatan serta keupayaan pembelajaran kanak-kanak. Oleh itu, pendidikan kesihatan keluarga wajar diperkukuh sebagai komponen utama agenda kesihatan awam negara kerana kesejahteraan masyarakat turut berpotensi menyumbang kepada kemajuan ekonomi keluarga dan negara.

Sehubungan itu, lima bidang utama dicadangkan untuk diberikan keutamaan:

  • Program 1,000 hari pertama kehidupan : Melalui peluasan pendidikan nutrisi, penjagaan kesihatan dan sokongan kepada ibu mengandung, bayi serta kanak-kanak sehingga berusia dua tahun.
  • Pendidikan kesihatan ibu bapa dan penjaga : Dengan membangunkan program literasi kesihatan keluarga yang merangkumi pemakanan, tumbesaran, kesihatan mental, perkembangan kanak-kanak dan pencegahan penyakit.
  • Saringan dan intervensi awal kanak-kanak : Bagi memperkukuh pengesanan masalah perkembangan, pemakanan dan kesihatan supaya bantuan bersesuaian dapat diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius. 
  • Nutrisi kanak-kanak daripada keluarga : Memberikan perhatian kepada isi rumah yang menghadapi tekanan kos sara hidup agar kekangan ekonomi tidak menjejaskan akses anak-anak kepada makanan berkhasiat dan penjagaan kesihatan sewajarnya.
  • Kajian kesihatan dan nutrisi generasi : Pengukuhan penyelidikan serta pengumpulan data berkaitan pemakanan, kesihatan fizikal, perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak bagi membantu kerajaan merancang intervensi yang lebih bersasar.

Pelaksanaan usaha ini perlu diselaraskan dengan melibatkan klinik kesihatan, Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), institusi pendidikan, komuniti dan agensi berkaitan supaya manfaat pendidikan kesihatan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada keluarga.

Bagi memperkukuh program sedia ada, Kementerian Kesihatan  (KKM) dicadangkan diberikan peruntukan khas melalui Belanjawan 2027 sebagai langkah awal melaksanakan pendekatan Kesihatan Sepanjang Kitaran Kehidupan. Usaha ini boleh dimulakan dengan ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak sebelum diperluas kepada golongan remaja, mahasiswa, tenaga kerja serta agenda penuaan sihat.

Peruntukan tersebut wajar merangkumi pendidikan nutrisi untuk ibu mengandung dan keluarga muda, pemantauan pemakanan serta tumbesaran kanak-kanak, pendidikan kesihatan kepada ibu bapa dan penjaga, literasi kesihatan mental keluarga serta intervensi awal bagi kanak-kanak yang memerlukan sokongan.

Pelaburan dalam kesihatan awal kanak-kanak tidak seharusnya dianggap sebagai kos semata-mata, sebaliknya menjadi asas pembentukan modal insan yang berkualiti. Generasi yang sihat berpeluang mengikuti pendidikan dengan lebih baik sebelum menyumbang sebagai tenaga kerja produktif pada masa hadapan.

Jika kita mahu melahirkan generasi cemerlang dalam pendidikan dan mampu bersaing dalam ekonomi masa depan, usaha itu perlu bermula sebelum mereka melangkah ke bilik darjah, iaitu melalui ibu yang sihat, bayi yang mendapat nutrisi mencukupi dan persekitaran keluarga yang memahami kepentingan kesihatan.

Kesihatan generasi bukan sekadar perbelanjaan hari ini, tetapi pelaburan untuk kekuatan negara pada masa hadapan. Pesanan orang tua bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati perlu diterjemahkan melalui usaha pencegahan sejak bayi dalam kandungan agar setiap kanak-kanak berpeluang membesar dengan sihat dan sempurna. –UTUSAN

 

DATUK SYED ANUAR SYED MOHAMAD ialah Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN