Ekonomi Melayu perlu pendekatan baharu

Ekonomi Melayu perlu pendekatan baharu

EKONOMI Melayu dan bumiputera memerlukan pendekatan baharu dan kerjasama institusi bagi mencapai semula sasaran 30 peratus Dasar Ekonomi Baharu (DEB).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHAP pencapaian ekonomi Melayu mungkin belum setanding dengan pencapaian kaum lain, khususnya masyarakat Cina. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun demikian, pencapaian ketika ini berbanding keadaan pada awal 1970-an jauh lebih ketara. Misalnya, dalam hal pemilikan ekuiti korporat, masyarakat Melayu dan bumiputera menguasai 16.9 peratus pada 2018 berbanding 2.4 peratus pada 1970.

Dalam hal pekerjaan bertaraf tinggi seperti doktor perubatan, jurutera dan arkitek, pencapaian ketika itu masing-masing 53 peratus, 52 peratus dan 60 peratus daripada jumlah keseluruhan. 

Namun demikian, keadaan ini berbeza bagi jawatan akauntan bertauliah. Ramai daripada lulusan bidang perakaunan tidak terus mengambil latihan profesional untuk menjadi akauntan bertauliah tetapi memilih jawatan lain dalam bidang pengurusan.

Kalau boleh diperkatakan Dasar Ekonomi baru (DEB) berjaya, maka bidang kejayaannya ialah  dalam bidang pembasmian kemiskinan dan pembangunan modal insan. Namun, pencapaian dalam bidang pemilikan ekuiti masih belum memuaskan.

Kalau dikira bantuan daripada sektor awam kepada masyarakat Melayu, sejak daripada DEB bagi tempoh 1971 hingga 1990 sehingga masa ini, jumlah yang besar diperuntukkan untuk membantu masyarakat Melayu dan bumiputera.

Banyak agensi awam diwujudkan untuk meningkatkan dan memantapkan lagi penguasaan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera, yang meliputi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju)  dan Tekun Nasional (Tekun). 

Ada juga agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), yang secara langsung melibatkan masyarakat Melayu dan bumiputera dalam usaha membasmi kemiskinan dan menggalakkan kegiatan perniagaan.

Namun demikian jika kita kira jumlah Melayu dalam kalangan 40 orang terkaya di negara ini, besar kemungkinan hanya tiga orang sahaja yang memasuki golongan terkaya itu.

Mungkin kayu pengukur kejayaan usaha kejuruteraan sosial ini tidak begitu tepat. Ukuran ini mungkin lebih berkaitan pencapaian dalam usaha pembasmian kemiskinan, apabila kadar kemiskinan mutlak berkurang daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 5.1 peratus pada 2024.

Bagaimana pula dari aspek pengukuran perbezaan pendapatan antara kaum dan dari aspek perbezaan ekonomi antara bandar dengan luar bandar serta antara wilayah? 

Memang terdapat pengurangan tetapi masih memerlukan lebih banyak usaha untuk mengurangkan perbezaan dari perspektif ini.

Kadangkala kita melihat permasalahan ini dari kaca mata statik, sedangkan masalah perbezaan ini mempunyai aspek dinamiknya. Sebagai contohnya, peningkatan daya pengeluaran petani menambah pengeluaran negara keseluruhannya tetapi ia memberi peluang kepada pertumbuhan kegiatan ekonomi lain seperti pengisaran beras, pengedaran baja dan beras, industri pengangkutan serta industri insurans serta kewangan yang dikuasai masyarakat bukan tani.

Misalnya, kajian Bank Dunia mengenai Kawasan Perairan Muda pada suatu ketika dahulu mendapati kesan peningkatan pendapatan daripada penanaman padi dua kali setahun yang kekal di kawasan berkenaan hanya sekitar 29 peratus. 

Selebihnya, iaitu 71 peratus, mengalir ke kawasan lain melalui sistem perbankan dan memberi manfaat kepada pembangunan di kawasan tersebut. Oleh itu, jurang ekonomi akan terus wujud walaupun pada kadar yang relatif. 

Begitu juga dalam usaha-usaha menggalakkan pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera. Usaha tersebut membantu industri dan perniagaan secara keseluruhan melalui kesan kenaikan produktiviti dan kecekapan pekerja bumiputera dan Melayu secara keseluruhannya.

Ini bermakna usaha membantu masyarakat Melayu dan bumiputera bukanlah permainan jumlah sifar, kerana kaum lain juga boleh mendapat manfaat. 

Faedah itu khususnya dapat dirasai melalui peningkatan pengeluaran dan kepelbagaian kegiatan ekonomi, selain pembelian aset serta perkhidmatan oleh agensi dan program awam yang terlibat secara langsung dalam inisiatif membantu masyarakat Melayu dan bumiputera. 

Hal ini kerana rantaian bekalan masih banyak dikuasai oleh kumpulan bukan bumiputera.

 

SASARAN 30 PERATUS MASIH BELUM SELESAI 

Berbalik isu pemilikan ekuiti dan penguasaan industri serta perniagaan yang masih belum mencapai sasaran 30 peratus, yang ditetapkan semasa tahun-tahun DEB dahulu, masyarakat Melayu dan bumiputera perlu meneliti secara mendalam untuk mencari strategi yang baharu dan lebih berkesan agar matlamat 30 peratus boleh dicapai dalam tempoh sederhana, iaitu dalam tempoh lima hingga 10 tahun, misalnya.

Mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam program dan usaha sedia ada yang menyebabkan kesukaran mencapai sasaran itu. Semacam ada merangkap yang menghalang dan menyukarkan pencapaiannya. 

Ini merupakan isu perancangan dan penstrategian yang perlu diteliti semula dari tahap makro kerana pencapaian 30 peratus merupakan dasar awam jangka panjang dan janji setiap kerajaan yang memerintah. 

Matlamat ini masih merupakan tugas yang belum selesai, sebagaimana ungkapan sahabat, allahyarham Tan Sri Kamal Salih.

Bagaimana kita boleh menggerakkan institusi-institusi yang sedia ada seperti PNB, Mara, Felda, LPP, Tekun, Teraju, TH, koperasi-koperasi dan sebagainya untuk bersatu tenaga secara komprehensif, cekal serta sepadu bagi mencapai matlamat 30 peratus dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,.

Ini penting supaya cucu-cicit tidak mempersoalkan tentang kelalaian kita dalam hal ini selama lebih dua dekad selepas 1990?

Dalam hal ini, kita juga belum menyentuh soal kesediaan masyarakat Melayu dan bumiputera untuk menyertai serta bersaing dalam pasaran antarabangsa, termasuk ASEAN dan rantau perdagangan bebas yang lain. 

Dari sudut ekonomi politik, masyarakat Melayu dan bumiputera merupakan kelompok penduduk terbesar di negara ini, selain membentuk kumpulan pengguna yang besar serta mempunyai kedudukan penting dalam sektor awam yang merancang pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Justeru, mungkin sudah tiba masanya peranan perancang ekonomi makro diperkukuh untuk mengetuai perancangan dan pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh. 

Langkah ini penting supaya sasaran 30 peratus tidak dipinggirkan, sebaliknya diberi nafas baharu dengan sasaran untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun. –UTUSAN

 

TAN Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN