AIR hujan yang turun dengan sederhana lebat bagi suatu tempoh, akan bertakung kerana longkang, parit dan laluan air tersumbat dengan sampah sarap.
Setelah sampah sarap dibersihkan, pada hari lain pula, hujan turun dengan lebat bagi suatu tempoh. Saiz longkang yang kecil tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang terlalu banyak untuk dialirkan dengan cepat lalu menyebabkan air melimpah hingga ke atas jalan.
Saya percaya pihak berkuasa peka akan aduan orang awam tentang longkang tersumbat dan mereka telah pun membersihkannya. Namun, faktor saiz longkang yang kecil tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak pada sesuatu masa pula menyebabkan air bertakung.
Oleh yang demikian, saya cadangkan agar disemak semula reka bentuk sistem saliran sama ada telah memenuhi spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.
Guna Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) sebagai rujukan. Faktor perubahan iklim juga boleh menyebabkan taburan air hujan di luar jangka berlaku dan perlu diberi pertimbangan.
Reka bentuk sistem saliran, misalnya longkang, tidak hanya menampung air hujan sahaja. Air lebihan daripada siraman pokok sebagai lanskap juga akan mengalir ke longkang. Tumpahan bahan kimia dan minyak akibat kemalangan perlu dibersihkan.
Air cucian ini akan mengalir juga ke dalam longkang. Begitu juga dengan air larian permukaan yang lain.
Terdapat juga permukaan jalan raya yang menakung air hujan walaupun tidak berlopak. Sepatutnya, air hujan mengalir ke dalam longkang jika jalan raya direka bentuk seperti jalan raya John McAdam yang bercerun sedikit. Keadaan jalan raya yang menakung air seperti ini akan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya motosikal dan kenderaan ringan.
Ada kalanya kita terdengar suara dan bisikan yang menyalahkan hujan sebagai punca utama berlakunya banjir kilat, tanpa mempertimbangkan faktor-faktor lain.
Perlu diingat hujan itu rahmat daripada Tuhan. Kita patut bersyukur Malaysia diturunkan hujan yang dapat menyuburkan tanaman dan dapat disalirkan ke kawasan tadahan, sungai serta tasik untuk kegunaan kita.
Negara kita bertuah kerana diturunkan hujan, berbanding dengan negara lain yang terpaksa menggunakan kaedah penyahgaraman air laut dengan kos tinggi untuk mendapatkan air bersih bagi kegunaan harian dan pengairan tanaman.
Bila hujan tidak turun, ramai pula yang merungut hingga diadakan solat hajat dan pembenihan awan agar.
Jangan salahkan hujan jika berlaku banjir kilat tetapi salahkan manusia yang tidak cekap menguruskan rezeki pemberian Tuhan. –UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur











