BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyegerakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah khususnya lokasi terselindung atau jauh daripada laluan utama memandangkan harga peranti itu kini lebih murah serta mudah diperoleh.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, isu kos tidak lagi sepatutnya dijadikan alasan kerana teknologi berkenaan amat praktikal untuk membantu meningkatkan tahap pemantauan serta keselamatan murid dan pelajar secara berkesan.
Katanya, penambahbaikan itu penting untuk mengimbangi kelemahan kawalan keselamatan secara fizikal sedia ada khususnya selepas kejadian terkini yang menimpa Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, kelmarin.
“Kini harga CCTV sudah semakin murah dan sekolah tidak perlukan sistem yang terlalu canggih. Kamera CCTV juga boleh menjadi faktor penghalang kepada pihak tertentu daripada berhasrat melakukan sebarang salah laku di kawasan sekolah.
“Ini kerana apabila orang tahu pergerakan mereka dirakam, mereka akan berfikir dua kali untuk melakukan kesalahan. Kebergantungan kepada pengawal keselamatan dan penyeliaan manusia ada had, jadi teknologi seperti CCTV amat penting untuk meningkatkan aspek pemantauan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga arwah Irene Sofiya di kediaman mereka di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.
Ka Siong yang juga merupakan Presiden MCA turut berkata, pihaknya menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek bahawa kajian mendalam perlu dibuat berhubung isu ketiadaan CCTV di kawasan sekolah.
“Insiden terbaharu ini merupakan tragedi ketiga seumpamanya yang berlaku di persekitaran sekolah di negara ini, jadi adalah wajar perkara ini dibangkitkan untuk perbincangan menerusi platform sesuai, termasuk di Parlimen,” katanya lanjut.
Kelmarin, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini dipercayai dibunuh.
Manakala semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad memberitahu pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.-UTUSAN











