PUTRAJAYA: Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) memainkan peranan penting dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah di Wilayah Persekutuan dalam skop penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah.
Pengarah/ Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Mohamad Zakian Dio berkata, fungsi pendakwaan syariah di Wilayah Persekutuan sebelum ini dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di mana Pendakwaan Syariah menjadi salah satu Bahagian di Jabatan tersebut namun atas dasar meningkatkan integriti dan kebebasan kuasa pendakwaan syariah, fungsi pendakwaan syariah dikeluarkan daripada JAWI dan dijadikan satu jabatan yang berasingan. Bermula November 2016, JaPenSWP telah diwujudkan dan secara rasminya menjadi entiti yang berasingan dengan JAWI.

Menurut beliau, langkah berkenaan bertujuan memastikan fungsi pendakwaan mempunyai kebebasan, integriti dan ketelusan yang lebih kukuh, sama seperti prinsip kebebasan yang diperlukan dalam fungsi kehakiman dan perundangan.
“Dengan penubuhan JaPenSWP, Ketua Pendakwa Syarie yang kuasanya secara khusus dinyatakan dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [AKTA 505] melalui tauliah Yang Dipertuan Agong, bebas untuk menjalankan pendakwaan kepada orang Islam yang melakukakan kesalahan jenayah syariah di Wilayah Persekutuan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.”
“Ketika ini sebahagian besar negeri-negeri telah mempunyai Jabatan Pendakwaan Syariah di negeri masing-masing dan diketuai seorang Ketua Pendakwa Syarie,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau berkata, skop penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah yang menjadi salah satu eleman penting dalam institusi keadilan syariah di Wilayah Persekutuan bermula di Bahagian Penguatkuasaan JAWI. Bahagian ini akan menerima aduan berkaitan salah laku kesalahan jenayah syariah, seterusnya menjalankan siasatan sebelum hasil siasatan dikemukakan kepada JaPenSWP, seterusnya JaPensWP akan menentukan sama ada terdapat asas atau bukti mencukupi sesuatu kes tersebut untuk didakwa di Mahkamah Syariah.
Katanya, proses tersebut adalah sebagaimana yang dilaksanakan dalam sistem pendakwaan jenayah di Mahkamah sivil iaitu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima aduan suatu kesalahan jenayah, melaksanakan siasatan dan mengemukakan laporan siasatan kepada pihak pendakwaan (Timbalan Pendakwa Raya) untuk penilaian tindakan selanjutnya.
Fungsi JaPensWP dalam perkara ini ialah memfokuskan kepada bukti-bukti kesalahan yang dilaporkan dan disediakan dengan lengkap oleh Bahagian Penguatkuasaan seterusnya bagi membolehkan seseorang itu dakwa di Mahkamah Syariah. Sekiranya keterangan dan bukti tersebut tidak mencukupi dan tidak lengkap, JaPenSWP akan mengarahkan Bahagian Penguatkuasa untuk melengkapkan bukti melalui siasatan lanjut terlebih dahulu.
Mohamad Zakian berkata, “Perlembagaan Persekutuan (PP) telah meletakkan bidang kuasa khususnya dalam Senarai II PP Jadual ke Sembilan berkaitan hal ehwal agama Islam di bawah bidang kuasa negeri, termasuklah berkaitan kesalahan jenayah syariah.
Justeru semua pihak berkuasa negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing secara berasingan untuk menetapkan dan menggubal undang-undang berkaitan kesalahan jenayah syariah di negeri masing-masing, namun secara umumnya bentuk dan jenis kesalahan adalah hampir sama antara negeri-negeri.”
Katanya lagi, “Usaha sedang digerakkan untuk mewujudkan sebuah agensi di peringkat Persekutuan bagi tujuan menyelaraskan pengurusan dan pentadbiran Jabatan Pendakwaan Syariah negeri-negeri dan inilah keunikan Malaysia, walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa berkaitan hal ehwal agama Islam di bawah bidang kuasa negeri-negeri namun ketika ini keseragaman pentadbiran institusi keadilan perundangan Syariah dan agama Islam dapat diseragamkan.
Contohnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelaras tadbir urus agama Islam, manakala Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyelaras tadbir urus Mahkamah Syariah. Maka hasrat Kerajaan menubuhkan suatu agensi penyelaras iaitu Jabatan Pendakwaan Syariah di Malaysia adalah sangat wajar dan harus disokong. Akhirnya nanti, kita akan melihat tadbir urus pentadbiran agama Islam, kehakiman perundangan syariah termasuklah pendakwaan syariah akan seragam.”
Dalam pada itu, beliau berkata, kes jenayah syariah yang dikendalikan JaPenSWP secara umum merangkumi empat kategori utama iaitu kesalahan berkaitan akidah, kesucian agama Islam dan institusinya, kesalahan moral serta pentadbiran pengurusan kekeluargaan.
Antara kesalahan akidah termasuk menyebarkan pendapat yang bercanggah dengan fatwa, ajaran atau doktrin palsu, mengajar tanpa tauliah dan menerbitkan bahan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Bagi kesalahan moral pula, ia termasuk khalwat, persetubuhan haram, liwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, perjudian, minum arak, tidak berpuasa dan tidak menunaikan solat Jumaat.
Bagaimanapun katanya, statistik menunjukkan kesalahan berkaitan pentadbiran kekeluargaan merupakan antara kes yang paling banyak dikendalikan dan didakwa di Mahkamah Syariah, khususnya pernikahan tidak mengikut peraturan termasuk poligami tanpa kebenaran mahkamah dan perceraian tanpa kebenaran mahkamah.
“Menyentuh kesalahan-kesalahan pentadbiran kekeluargaan, contohnya perceraian tanpa kebenaran Mahkamah, undang-undang tersebut nampak seakan-akan menyusahkan tetapi harus diberi perhatian bahawa kerajaan yang mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan agar semua pasangan yang berkonflik dapat diberi perkhidmatan pemulihan melalui pelbagai mekanisme antaranya melalui Jawatankuasa Pendamai, sesi kaunseling dan Jawatankuasa Hakam. Proses dan perkhidmatan tersebut hanya dapat diberikan apabila pasangan tersebut membuat permohonan di Mahkamah” katanya lagi.
Bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang kesalahaan jenayah syariah, agensi seperti Bahagian Penguatkuasaan JAWI dan JaPensWP memerlukan sokongan dan kerjasama semua lapisan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan antaranya melalui tindakan membuat aduan dan berkongsi maklumat sekiranya mengetahui berlakunya suatu perbuatan yang melanggar kesalahan jenayah syariah. Sama ada aduan itu berakhir dengan pendakwaan Mahkamah syariah atau tidak, ia suatu persoalan lain kerana ia sangat bergantung kepada bukti-bukti yang diperolehi.
Katanya lagi, “aduan penting bagi membolehkan pihak kerajaan mengenalpasi trend kesalahan perlanggraan undang-undang dan bentuk ancaman yang sedang berlaku dalam msayarakat. “
“Jangan ada stigma bahawa buat aduan pun tidak guna. Yang penting, masyarakat tahu ada agensi yang bersedia untuk menerima aduan. Selepas siasatan lengkap dan bukti mencukupi, kami yang akan membawa kes itu ke Mahkamah Syariah,” katanya.
Beliau berkata, JaPenSWP turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan literasi (kesedaran) undang-undang di kalangan masyarakat supaya mereka mengetahui bentuk perbuatan yang merupakan kesalahan syariah serta saluran yang betul untuk membuat aduan.
“Kita mahu mempergiatkan penerangan dan literasi undang-undang. Masyarakat perlu tahu, bentuk-bentuk kesalahan dan selepas itu mereka tahu ke mana hendak membuat aduan.
“Tanpa aduan, sesuatu kes mungkin tidak sampai ke mahkamah. Jadi masyarakat jangan risau sama ada sesuatu kes itu akan disabitkan atau tidak. Yang penting, apabila nampak sesuatu perbuatan salah, buat aduan,” katanya. – UTUSAN











