KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan melabur sehingga RM3 bilion menerusi Dana Pemacu dalam pelaburan patuh Syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu akan dilakukan dalam pelaburan patuh Syariah untuk menyokong pertumbuhan tinggi syarikat tempatan Malaysia di samping juga memangkin ekosistem pelaburan teroka.
Katanya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mewujudkan Social Exchange yang pertama di Malaysia yang merupakan pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.
Beliau berkata, usaha itu akan memberi manfaat kepada entiti seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perusahaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
“Ketiga, saya juga berbesar hati untuk memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk di bawah Kerajaan Malaysia melalui struktur wakalah ‘bil-khadamat’.
“Kami merancang untuk memuktamadkan Sukuk ini menjelang 2025, sambil berusaha melengkapkan semua susunan dan penyediaan yang diperlukan.
“Keempat, kami akan terus berinovasi pada sukuk struktur, terutamanya untuk memenuhi keperluan terbaik peralihan iklim dan tenaga bersama-sama dengan kemampanan, membina inovasi masa lalu seperti SRI struktur sukuk ihsan dan kaitan dengan wakaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Selain itu, kata Anwar Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) melalui Pusat Aset Digital Islamnya
(IDAC) akan secara aktif mengumpul dan melabur dana secara digital berasaskan teknologi blockchain dan sandbox digital kewangan Islam.
“Akhir sekali, saya ingin memuji industri perbankan Islam atas ikrar bersama mereka sebanyak RM2.67 bilion dalam kemudahan pembiayaan terjamin melalui Platform Bersepadu Halal oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC) untuk menyokong pembangunan industri halal di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan kerajaan memperkenalkan program perintis Penghijauan Perniagaan Halal yang bertujuan membantu perniagaan halal di Malaysia untuk beralih kepada amalan yang lebih hijau dan mampan.
Kata beliau, ia akan dilaksanakan dengan menyediakan peralatan pembinaan kapasiti teknikal untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau serta pembiayaan transisi termasuk pensijilan.
“Saya mengulangi komitmen kerajaan Malaysia terhadap inovasi ini melalui perkongsian dan pengumuman komitmen RM100 juta untuk menyuburkan lebih banyak inovasi seperti itu,” katanya.








