JAKARTA: Anggota-anggota polis syariah di wilayah Aceh, Indonesia yang terkenal dengan pelaksanaan undang-undang Islam secara ketat pada Khamis menjalankan hukuman merotan di khalayak ramai.
Mereka merotan sepasang kekasih yang belum berkahwin, menurut wartawan AFP.
Ia berlaku selepas pasangan itu dirakam bercium dalam sebuah video yang dimuat naik ke media sosial.
Lelaki dan wanita berkenaan, yang tidak didedahkan umur mereka, masing-masing dirotan sebanyak 21 kali di sebuah taman awam di Banda Aceh, ibu kota wilayah tersebut.
Puluhan orang menyaksikan hukuman itu, Malah, ada yang menggesa anggota yang melaksanakan hukuman itu supaya merotan dengan lebih kuat, menurut wartawan AFP.
Pasangan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa selepas mereka dilihat bercium ketika bersiaran langsung menerusi aplikasi video TikTok, yang mencetuskan siasatan sehingga membawa kepada hukuman tersebut, kata Ketua Polis Syariah Bandar Banda Aceh, Muhammad Rizal, kepada pemberita pada Khamis.
“Mereka jelas melanggar syariat Islam,” kata Rizal.
Beliau berkata, ia adalah kali pertama dua individu dihukum kerana melanggar undang-undang syariah selepas melakukan perbuatan tersebut di media sosial. – AFP










