KUALA PILAH: Fenomena pokok Tekuma atau pokok kertas tisu yang berbunga lebat di sepanjang Jalan Batu Kikir-Kuala Pilah, di sini, menarik perhatian orang ramai termasuk pengunjung dari luar untuk singgah bergambar, selepas tular di media sosial.
Seorang penjual cendol yang hanya ingin dikenali sebagai Zham, 47, berkata, pokok yang sudah berusia kira-kira 20 tahun itu biasanya berbunga tiga hingga empat kali setahun, namun musim berbunga kali ini adalah paling lebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, keadaan itu turut menarik orang ramai untuk berkunjung ke kedainya selepas mengetahui mengenai pokok berkenaan menerusi media sosial.
“Memang tahun ini paling mekar dan meriah. Orang ramai datang terutama pada waktu petang untuk bergambar, selain singgah menikmati cendol.
“Bukan sahaja penduduk setempat, malah ada pengunjung dari Melaka dan Johor yang datang semata-mata untuk menikmati suasana dan bergambar di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Batu Kikir, di sini.
Zham berkata, kewujudan pokok berkenaan yang disifatkan sebagai ‘Sakura Malaysia’ itu turut mendapat perhatian pasangan pengantin dan pengunjung yang mengenakan pakaian tradisional Korea untuk bergambar.
Katanya, terdapat juga pengunjung yang menggunakan dron bagi merakam gambar pokok berkenaan dari udara.
“Memang saya sendiri gembira tengok bunga ini sebab cantik dan dapat memberikan suasana seperti di Jepun atau Korea Selatan walaupun berada di negara kita.
“Bila musim berbunga, saya akan kongsikan gambar dan video di media sosial serta untuk mengajak orang ramai datang bergambar,” katanya.
Beliau berkata, fenomena tersebut sekali gus membuka peluang rezeki buatnya selepas jumlah pelanggan di premisnya meningkat khususnya hujung minggu
“Alhamdulillah, memang ada peningkatan. Saya tidak sangka sambutan kali ini begitu ramai dan ada yang datang dari jauh, semata-mata ingin melihat sendiri pokok ‘sakura Malaysia’,” katanya. – UTUSAN











