BERMULA dengan 20 rakan pengasas kira-kira 21 tahun lalu, Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) membangunkan pendekatan berasaskan keusahawanan bagi memastikan komuniti di bawahnya mempunyai sumber ekonomi untuk terus berdikari.
Pengerusi dan Rakan Pengasas RPWP, Muhammad Shauqi Hasan berkata, rakan-rakan pengasas terbabit membangunkan perniagaan melalui entiti masing-masing berdasarkan kepakaran dan peluang yang ada dengan RPWP sebagai penerima manfaat.
Menurutnya, perniagaan berkenaan bukan dimiliki sepenuhnya RPWP, sebaliknya mempunyai struktur pemilikan dan entiti tersendiri.
“RPWP adalah penerima manfaat. Jadi, perniagaan dan syarikat itu mempunyai entiti serta pemilikan masing-masing, tetapi dibangunkan dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada komuniti.
“Kita tidak mengambil keuntungan secara peribadi daripada model ini. Apa yang kita bina adalah satu laluan ekonomi supaya komuniti boleh berdikari dan tidak meminta-minta seperti rumah kebajikan yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pendekatan itu berasaskan konsep wakaf perusahaan yang dibangunkan sejak penubuhan RPWP, dengan manfaat daripada aktiviti perniagaan disalurkan semula kepada pembangunan komuniti.
Katanya, keperluan membangunkan sumber pendapatan sendiri semakin penting kerana RPWP kini mempunyai kira-kira 260 orang dalam komuniti dengan kos operasi dianggarkan antara RM300,000 hingga RM350,000 sebulan.
“Kalau kita perlu menanggung seorang warga sekitar RM1,000 sebulan, jika 260 orang sudah menjadi RM260,000. Itu belum termasuk utiliti, tanah dan kos lain.
“Sebab itu kita perlukan perniagaan yang boleh menjadi sumber untuk menampung keperluan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, perniagaan yang dibangunkan rakan-rakan dalam ekosistem berkenaan meliputi bidang seperti pelancongan, media, pendidikan, makanan dan perkhidmatan.
“Kepelbagaian itu membolehkan rakan pengasas memanfaatkan kepakaran masing-masing, walaupun ada individu yang menguruskan lebih daripada satu portfolio.
“Model berkenaan diuji ketika pandemik Covid-19 apabila sektor pelancongan terjejas akibat sekatan perjalanan.
“Bila satu perniagaan terjejas, kita cuba lihat ruang lain yang ada permintaan. Ketika Covid-19, kita menghasilkan kandungan pelancongan dalam negara dan pada masa sama meneroka pengeluaran peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.
Antara perniagaan yang kini berada di bawah RPWP ialah Rarecation Travel Sdn. Bhd., RareTV dan RareCafe, selain beberapa syarikat serta jenama lain.
Kewujudan RareCafe turut menjadi tempat pertemuan peserta yang pernah menyertai program Rarecation dan pengikut RareTV, sekali gus membantu menarik pelanggan serta menyokong aktiviti ekonomi RPWP.
Bagi Rarecation pula, pihaknya telah membawa kumpulan pelancong tempatan ke pelbagai negara termasuk ke New Zealand, Turkiye, Australia selain menguruskan perjalanan umrah.
Mengulas lanjut, Muhammad Shauqi berkata, pengalaman membangunkan perniagaan turut diterapkan kepada generasi muda dalam komuniti melalui pendidikan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk kemahiran automotif, kulinari, jahitan serta perniagaan.
“Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja belajar, tetapi mempunyai kemahiran dan pengalaman untuk menguruskan sesuatu pada masa depan.
“Kalau lima tahun akan datang, anak-anak yang hari ini berusia 15 tahun akan mula mengambil alih urusan yang lebih besar. Kita sebenarnya melihat kepada tempoh 100 tahun dan tiga generasi untuk meneruskan RPWP,” katanya. – UTUSAN











