Malaysia ada kelebihan hadapi 'taufan' penuaan

Malaysia ada kelebihan hadapi ‘taufan’ penuaan

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN persekitaran ekonomi global berdepan cabaran beban hutang awam dan krisis penuaan penduduk, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk mendepani ancaman berkenaan menerusi langkah persediaan awal serta kekuatan modal insan tempatan.

Berbanding beberapa negara maju yang kini terjejas teruk akibat kemerosotan tenaga kerja drastik, persekitaran ekonomi negara kekal berdaya saing berikutan peningkatan kualiti pendidikan, latihan vokasional, penyertaan wanita serta kelebihan struktur populasi yang masih relatif muda.

Ketua Strategi Pasaran Asia Pasifik J.P. Morgan Asset Management, Tai Hui berkata, isu penuaan populasi diibaratkan seperti ancaman taufan, di mana negara seperti Jepun dan Korea Selatan kini berada dalam fasa menguruskan kerosakan menerusi automasi, manakala Malaysia mempunyai kelebihan masa untuk mengutamakan aspek persediaan awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Malaysia, ‘taufan’ penuaan ini berada kira-kira 400 kilometer jauhnya, jadi keutamaan kita adalah membina sistem penjagaan kesihatan dan kebajikan warga tua yang kukuh supaya perancangan jangka panjang tidak ditenggelamkan oleh isu harian.

“Penyelesaian isu ini juga memerlukan penglibatan sektor swasta dalam ekonomi ‘pe­rak’ menerusi inovasi produk dan perkhidmatan khas warga tua, manakala kerajaan memfokuskan kepada penyediaan perkhid­matan asas yang mampu milik,” katanya semasa sesi panel sempena Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC2026) baru-baru ini.

Mengulas mengenai pemacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jangka panjang, Tai Hui berkata, unjuran ekonomi menunjukkan sumbangan tenaga kerja global semakin merosot akibat penurunan kadar kelahiran, namun keadaannya berbeza bagi rantau ini.

“Sumbangan tenaga kerja kepada KDNK Amerika Syarikat (AS) berubah daripada positif 0.4 mata peratusan pada 2021 kepada negatif 0.1 mata peratusan bagi unjuran 2026, manakala di China ia susut kepada sifar berikutan kesan dasar satu anak.

“Namun bagi Malaysia dan rantau Asia, persekitaran ekonomi kekal kukuh dan berdaya saing berikutan kualiti modal insan yang bertambah baik, latihan vokasional serta peningkatan penyertaan tenaga kerja wanita yang memacu produktiviti,” katanya.

Tambahnya, era kadar faedah pinjaman rendah yang dinikmati sejak dua dekad lalu kini sudah berakhir, sekali gus menuntut pengurusan dasar fiskal yang berhati-hati supaya keutamaan persediaan penuaan tidak diketepikan berikutan pertambahan kos faedah hutang awam.

“Di AS, perbelanjaan kerajaan untuk membayar kos faedah pinjaman kini melebihi bajet pertahanan negara, manakala satu pertiga perbelanjaan persekutuan diagihkan kepada populasi warga tua. Justeru, negara membangun seperti Malaysia perlu memastikan perancangan kewangan pasca-persaraan dibina kukuh dari awal,” katanya.

Beliau turut menekankan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik berpotensi besar membantu ekosistem penjagaan warga tua dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, di samping keperluan menggalakkan masyarakat meningkatkan literasi pelaburan terpelbagai bagi menampung kehidupan pasca-persaraan.

Sementara itu, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) Malaysia, Datuk Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan berkata, Malaysia berpeluang memperkemas dasar penuaan secara menyeluruh menerusi penubuhan badan penyelaras khusus.

Menurutnya, pelan tindakan dan kertas kerja berkaitan penuaan di negara ini sudah pun wujud, tetapi perlu diselaraskan merentas kementerian bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lebih licin.

“Seseorang perlu menyelaras perkara ini dan saya berharap Kementerian Kewangan dapat memainkan peranan tersebut semula bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar demi kesejahteraan warga tua.

“Isu perkongsian data merentas kementerian juga amat kritikal kerana dengan data bersepadu, pembentukan dasar berasaskan bukti dapat dilaksanakan dengan tepat,” katanya.

Tambah beliau, dinamik keluarga masyarakat tempatan yang berhijrah ke bandar turut membuka peluang baharu dalam sektor penjagaan profesional.

“Kita perlu melatih penjaga supaya berpengetahuan dan kompeten untuk merawat warga tua seperti keluarga sendiri. Pada masa sama, kita perlu membuang tanggapan bahawa semua individu berusia 65 tahun ke atas sentiasa bergantung kepada orang lain.

“Ramai golongan veteran di Malaysia yang kekal sihat, mahu berdikari dan masih mampu memberi sumbangan ekonomi serta sosial kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN