Pengangkutan logistik Malaysia perlu lebih efisien

Pengangkutan logistik Malaysia perlu lebih efisien

MASA depan logistik Malaysia bukan sekadar membina lebih banyak jalan raya, pelabuhan, gudang atau terminal tetapi membina infrastruktur yang saling terhubung secara fizikal dan digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA kita bercakap tentang infrastruktur logistik, perkara yang sering terbayang ialah lebuh raya, pelabuhan, landasan kereta api, lapangan terbang atau gudang.

Namun, persoalan yang lebih penting bukan lagi berapa banyak infrastruktur yang kita bina, tetapi sejauh mana kesemuanya benar-benar saling terhubung.

Malaysia sebenarnya mempunyai asas infrastruktur logistik yang kukuh. Dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023, Malaysia berada di kedudukan ke-26 daripada 139 negara dan merupakan negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura, menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan logistik yang baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, persaingan global tidak lagi hanya bergantung kepada kewujudan infrastruktur. Ia semakin bergantung kepada kelajuan, kebolehpercayaan, integrasi digital dan keupayaan menghubungkan pelbagai mod pengangkutan secara efisien.

Satu Rangkaian
Cabaran utama kita ialah memastikan jalan raya, rel, pelabuhan, lapangan terbang, gudang, pusat pengedaran, sempadan dan sistem digital tidak beroperasi secara berasingan.

Apa gunanya pelabuhan yang cekap jika lori perlu menunggu terlalu lama untuk keluar masuk? Apa gunanya gudang moden jika sambungan kepada rangkaian pengangkutan tidak efisien? Apa gunanya sistem digital yang canggih jika maklumat antara agensi dan pemain industri masih tidak dapat dikongsi dengan lancar?

Ukuran kejayaan bukan sekadar berapa jarak kilometer lebuh raya dibina atau berapa banyak gudang tersedia, tetapi berapa lama dan berapa kos yang diperlukan untuk menggerakkan sesuatu barangan dari pengeluar kepada pengguna.

Utara Malaysia
Laluan Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Padang Besar mempunyai peranan penting dalam pergerakan manusia dan barangan antara Malaysia dengan selatan Thailand. Pada masa yang sama, pembangunan Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (ICD) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) membuka peluang untuk membentuk ekosistem logistik rentas sempadan yang lebih bersepadu.

Bayangkan satu koridor yang menghubungkan Thailand-Perlis-Kedah-Pulau Pinang dengan jaringan jalan raya, rel, pusat logistik, pelabuhan dan sistem digital yang saling melengkapi.

Barangan dari selatan Thailand boleh bergerak melalui pintu sempadan, dikonsolidasikan di hab logistik di utara, seterusnya dihubungkan ke Pelabuhan Pulau Pinang untuk pasaran antarabangsa.

Sebaliknya, produk dari kawasan industri di Kedah dan Pulau Pinang boleh bergerak ke Thailand dengan lebih pantas dan kompetitif.

Sempadan
Sempadan negara kekal penting dari sudut keselamatan, kastam dan peraturan tetapi dari perspektif logistik, aliran maklumat dan proses tidak sepatutnya terhenti di sempadan.

Bayangkan jika maklumat kargo, status lori, dokumen perdagangan, proses kastam dan jadual penghantaran dapat disepadukan secara digital antara pihak berkepentingan di Malaysia dan Thailand.

Pengendali logistik boleh membuat perancangan lebih awal. Pihak berkuasa boleh melaksanakan pemeriksaan berasaskan risiko. Syarikat pula dapat mengurangkan masa menunggu dan ketidakpastian.

Hasilnya bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi juga mengurangkan penggunaan bahan api, perjalanan kosong lori dan pelepasan karbon.

Semenanjung
Malaysia mempunyai kawasan perindustrian dan pusat ekonomi yang berkembang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak sehingga Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Apa yang diperlukan ialah jaringan multimodal yang membolehkan syarikat memilih kombinasi pengangkutan paling sesuai dari segi kos, masa, kebolehpercayaan dan pelepasan karbon yang minimum.

Sebagai contoh, tidak semua kargo perlu bergerak sepenuhnya menggunakan lori. Kargo tertentu boleh menggunakan rel bagi jarak yang lebih jauh, sebelum disambungkan kepada lori.

Pendekatan ini boleh mengurangkan kesesakan jalan raya, penggunaan bahan api dan tekanan terhadap infrastruktur jalan.

Sabah dan Sarawak
Di Sabah dan Sarawak, persoalannya ialah bagaimana untuk menghubungkan kawasan pedalaman, bandar, kawasan industri, pelabuhan dan pasaran dengan lebih cekap.

Dalam keadaan tertentu, penyelesaian terbaik bukan semata-mata membina lebih banyak jalan raya. Sebaliknya, gabungan jalan raya, pengangkutan laut, udara, rel dan pusat pengumpulan mungkin lebih sesuai.

Sebuah produk dari kawasan pedalaman, misalnya, mungkin bergerak melalui jalan raya ke pusat pengumpulan, kemudian melalui pelabuhan sebelum dihantar ke pasaran Semenanjung atau antarabangsa.

Jika setiap peringkat dirancang secara berasingan, kos keseluruhan boleh meningkat. Tetapi jika ia dirancang sebagai satu perjalanan logistik bersepadu, masa, kos dan pelepasan karbon boleh dikurangkan.

Keberkesanan
Antara indikator utama yang boleh digunakan untuk menilai keberkesanan infrastruktur logistik ialah masa menunggu di sempadan dan terminal, masa perjalanan dari kilang ke pelabuhan, kos pengangkutan, kadar perjalanan tanpa muatan, masa kontena berada di terminal, penggunaan pengangkutan multimodal, pelepasan karbon bagi setiap penghantaran dan kebolehpercayaan masa penghantaran.

Sebahagian daripada indikator ini selari dengan dimensi masa dan kesalinghubungan dalam LPI 2.0 Bank Dunia, manakala indikator lain boleh digunakan sebagai ukuran prestasi logistik pada peringkat nasional dan operasi.

Satu Penyelesaian
Malaysia memerlukan strategi kesalinghubungan logistik nasional, tetapi penyelesaiannya tidak semestinya sama bagi setiap wilayah.

Sebaliknya, setiap wilayah perlu dibangunkan berdasarkan kekuatan ekonomi, geografi dan keperluannya sendiri tetapi semuanya perlu dihubungkan dalam satu ekosistem nasional.

Masa Depan
Malaysia mempunyai kedudukan geografi yang strategik. Kita berada di tengah-tengah laluan perdagangan Asia dan mempunyai hubungan darat dengan Thailand serta hubungan maritim yang luas dengan ASEAN dan pasaran dunia.

Cabaran kita sekarang ialah memastikan kelebihan geografi itu diterjemahkan kepada kelebihan logistik.

Masa depan logistik Malaysia bukan sekadar membina lebih banyak jalan raya, pelabuhan, gudang atau terminal.

Masa depan ialah membina infrastruktur yang saling terhubung secara fizikal dan digital dari utara Semenanjung sehingga Sabah dan Sarawak, dan dari Malaysia ke pasaran ASEAN serta dunia.

Jika kita berjaya melakukannya, manfaatnya bukan sahaja kepada industri logistik.

Ia boleh membantu mengurangkan kos barangan, meningkatkan daya saing eksport, menarik pelaburan, membuka peluang ekonomi di luar bandar, mengurangkan jurang antara wilayah dan pada masa yang sama menyokong agenda kelestarian negara.

Logistik bukan sekadar memindahkan barang dari satu lokasi ke lokasi lain tetapi logistik adalah tentang menghubungkan manusia, industri, peluang ekonomi dan pasaran. – UTUSAN

PROFESOR Madya Ts. Dr. Mohd. Kamarul Irwan Abdul Rahim ialah Dekan di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN