RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) meletakkan logistik sebagai tulang belakang kepada daya saing negara. Kecekapan rantaian bekalan, integrasi pengangkutan, dan kelancaran pergerakan barangan diangkat sebagai prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
Namun di sebalik hasrat yang jelas di atas kertas, satu isu asas terus melemahkan pelaksanaan dasar ini, iaitu fragmentasi tadbir urus logistik negara.
Malaysia bukan kekurangan infrastruktur. Pelabuhan utama terus dinaik taraf, lebuh raya diperluas, projek rel diperkukuh dan pusat logistik moden tumbuh pesat. Masalah sebenar ialah bagaimana semua komponen ini diuruskan.
Logistik negara ditadbir oleh terlalu banyak agensi dan kementerian yang bergerak secara berasingan. Pelabuhan, jalan raya, rel, gudang, kastam, penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan mempunyai mandat masing-masing, tetapi jarang beroperasi sebagai satu sistem bersepadu.
Akibat fragmentasi ini, kos logistik domestik kekal tinggi walaupun pelaburan infrastruktur berterusan.
Kelewatan pelepasan kargo, prosedur bertindih, keperluan pematuhan berlapis dan ketidaksamaan peraturan antara kawasan mewujudkan kos tersembunyi yang akhirnya ditanggung industri dan pengguna.
Apabila kos logistik meningkat, harga barang naik. Apabila proses lambat, daya saing merosot.
Lebih membimbangkan, pelaksanaan inisiatif RMK-12 dan NIMP 2030 menjadi perlahan. Dasar dirangka di peringkat pusat, tetapi tersekat di peringkat pelaksanaan kerana tiada satu entiti yang benar-benar berkuasa menyelaras keputusan merentas agensi.
Masalah ini turut menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selaku teras ekonomi seperti yang ditekankan RMK-12, namun mereka paling terkesan apabila sistem logistik tidak cekap. Tidak seperti syarikat besar, PKS tidak mampu menyerap kos kelewatan dan ketidakpastian.
Jika keadaan ini berterusan, aspirasi NIMP 2030 untuk membina ekosistem perindustrian berdaya tahan akan berdepan halangan struktur.
Dari sudut dasar, reformasi tadbir urus logistik perlu dijadikan agenda nasional, bukan isu pinggiran.
Pertama, kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme penyelarasan pusat yang mempunyai mandat undang-undang dan kuasa operasi sebenar untuk menyelaraskan dasar dan pelaksanaan logistik merentas agensi.
Kedua, agenda pendigitalan logistik dalam RMK-12 perlu difokuskan kepada penyatuan data. Data aliran kargo, masa transit dan titik kesesakan mesti dikongsi secara sistematik. Tanpa data bersama, dasar akan terus dibuat berdasarkan andaian.
Ketiga, peranan pihak berkuasa tempatan dalam logistik perlu diselaraskan. Penyeragaman garis panduan asas akan mengurangkan variasi yang tidak perlu tanpa menjejaskan autonomi tempatan.
Akhirnya, logistik perlu dilihat sebagai keupayaan strategik negara, bukan sekadar fungsi sokongan. RMK-12 dan NIMP 2030 telah menetapkan hala tuju yang betul. Cabarannya kini ialah memastikan struktur tadbir urus mampu menyokong aspirasi tersebut.
Malaysia telah membina infrastruktur bertaraf dunia. Namun tanpa pembaharuan institusi yang bersepadu, kelebihan ini akan terus terhakis. Logistik yang berpecah akan melemahkan ekonomi yang sepatutnya diperkukuh.
Jika reformasi ini gagal dilaksanakan, RMK-12 dan NIMP 2030 berisiko menjadi pelan bercita-cita tinggi yang terhenti di atas kertas. Logistik negara tidak boleh terus bergerak dalam silo, kerana ekonomi masa hadapan menuntut sistem yang bersatu, cekap dan berdaya tahan. – UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM & TS. DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans),
UiTM, Selangor










